Bursa Malaysia Jatuh Drastik 20.55 Mata Prestasi Paling Teruk Berbanding Bursa Serantau Asia Hari Ini?

1,096

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan prestasi berbeza berbanding aliran positif di kebanyakan bursa serantau Asia untuk ditutup pada paras terendah harian hari ini, kali kedua bagi minggu ini, berikutan pengambilan untung berterusan dan pelabur enggan mengambil risiko menjelang pengumuman mengenai data Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Februari.

Peniaga berkata sebilangan pelabur bersikap berhati-hati sebelum data IHP itu dikeluarkan esok, memandangkan laporan baru-baru ini menjangkakan Malaysia mengalami bacaan rendah 0.4 peratus tahun ke tahun pada Februari telah membuatkan mereka bimbang.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 20.55 mata atau 1.22 peratus kepada 1,663.66 daripada 1,684.21 ketika ditutup pada Rabu.

Selepas dibuka 3.43 mata lebih baik pada 1,687.64, pasaran bergerak antara paras 1,663.66 dan 1,689.61 sepanjang hari ini.

Peniaga berkata pelabur bimbang mengenai data IHP selepas negara merekodkan penyusutan IHP 0.7 peratus tahun ke tahun pada Januari, deflasi pertama sejak 2009.

“Kita menyaksikan aktiviti pengambilan untung masih berterusan, ini kerana peserta pasaran menjual pegangan mereka baru-baru ini.

“Bagaimanapun, tidak seperti kebanyakan pasaran Asia, laporan mengenai kecenderungan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat berpihak kepada kadar faedah rendah berbanding menaikkan kadar itu gagal menyokong prestasi Bursa Malaysia sehingga dagangan berakhir hari ini,” katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.19 peratus kepada 3,213.65, Indeks Komposit Shanghai China menokok 0.35 peratus kepada 3,101.46 dan Indeks Komposit Kospi Korea Selatan meningkat 0.36 peratus kepada 2,184.88.

Pasaran Jepun ditutup sempena cuti hari ini manakala Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.85 peratus kepada 29,071.56.

Di papan skor, lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 547 berbanding 302, manakala 409 kaunter kekal tidak berubah, 634 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.96 bilion unit bernilai RM2.15 bilion berbanding 2.58 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Rabu.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank turun tujuh sen kepada RM9.40, Tenaga susut 14 sen kepada RM12.88, Petronas Chemicals kurang 10 sen kepada RM9.04, manakala CIMB dan IHH masing-masing menguncup enam sen kepada RM5.33 dan RM5.79.

Nestle terus mendahului senarai rugi dengan merosot RM2.20 kepada RM145.50, diikuti oleh empat kaunter berkaitan KLCI – Public Bank turun 60 sen kepada RM23.86, PPB dan KLK masing-masing susut 50 sen kepada RM17.82 dan RM24 .48, serta Hong Leong Bank kurang 46 sen kepada RM20.34.

Antara saham paling aktif, Sapura Engergy dan warannya masing-masing menambah satu sen kepada 35 sen dan 14.5 sen, Dynaciate naik setengah sen kepada 10 sen, Perdana Petroleum kurang satu sen kepada 42 sen manakala Sino Hua-An tidak berubah pada 25.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 105.75 mata kepada 11,654.51, FBMT 100 turun 105.92 mata kepada 11,508.12, Indeks FBM Emas Syariah kurang 78.48 mata kepada 11,709.81, Indeks FBM Ace susut 21.57 mata kepada 4,779.33 manakala FBM 70 naik 17.29 mata kepada 14,182.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 225.12 mata kepada 17,219.51, manakala Indeks Perladangan turun 95.40 mata kepada 7,208.74 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.23 mata kepada 168.72.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.11 bilion saham bernilai RM1.95 bilion berbanding 1.74 bilion saham bernilai RM1.64 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 584.81 juta unit bernilai RM127.72 juta berbanding 475.70 juta unit bernilai RM106.15 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 267.35 juta saham bernilai RM64.37 juta berbanding 363.57 juta saham bernilai RM72.72 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 214.80 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (641.28 juta), pembinaan (128.77 juta), teknologi (102.70 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (65.87 juta), hartanah (112.93 juta), perladangan (43.47 juta), REIT (14.78 juta), dana tertutup (600), tenaga (647.10 juta), penjagaan kesihatan (30.90 juta), telekomunikasi dan media (37.96 juta), pengangkutan dan logistik (51.60 juta) dan utiliti (19.67 juta). – BERNAMA

Sumber : Bharian

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat