Bursa Malaysia ‘Merah Menyala’ Sejak Awal Jun, Pelabur Masih Kekalkan Mod Waspada?

254

Bursa Malaysia kekal rendah sehingga tengahari Khamis sejajar dengan kebanyakan bursa serantau apabila para pelabur kekal berhati-hati sebelum laporan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada Jumaat ini.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.42% iaitu 6.61 mata kepada 1,584.34 daripada 1,590.95 ketika ditutup pada Rabu semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.58 mata lebih kukuh kepada 1,591.53 dan ia bergerak antara 1,583.83 hingga 1,592.26 sepanjang sesi pagi.

Sentimen pasaran meluas adalah kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 677 berbanding 302. Manakala, 737 kaunter tidak berubah, 1,036 kaunter tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 2.61 billion unit yang bernilai RM1.49 billion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, data Indeks Perbelanjaan Pengguna Peribadi (PCE) AS yang dikeluarkan pada Jumaat ini bakal menentukan hala tuju seterusnya kadar faedah Amerika Syarikat.

Minggu ini, para peniaga masih memantau data PCE untuk memahami lebih banyak petunjuk mengenai pergerakan hala tuju kadar faedah pada masa akan datang. Selain itu, syarikat utama teknologi AS merekodkan peningkatan semula pada sesi kedua.

Ulasnya lagi, firma mereka menekankan pilihan saham yang kekalkan mod defensif seperti industri perkapalan. Industri ini dijangkakan berlakunya pertumbuhan susulan rantaian bekalan perkapalan yang mengalami tekanan sekali lagi berikutan pasaran perlu menunggu lebih lama untuk kontena dan penghantaran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM9.91, Public Bank turun satu sen kepada RM4, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing naik satu sen kepada RM6.77 dan RM6.28, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.92.

Bagi saham aktif, YNH Property susut 10 sen kepada 50.5 sen, MY E.G kurang empat sen kepada 98 sen, Ingenieur Gudang menguncup setengah sen kepada enam sen, dan Dagang NeXchange turun 1.5 sen kepada 45 sen, manakala SBH Marine meningkat 2.5 sen kepada 34.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 49.90 mata kepada 12,160.85, Indeks FBMT 100 kurang 49.92 mata kepada 11,742.42, Indeks FBM Emas Syariah turun 63.21 mata kepada 12,504.33, Indeks FBM 70 merosot 78.80 mata kepada 17,710.06, dan Indeks FBM ACE menguncup 21.21 mata kepada 5,702.10.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga kurang 6.09 mata kepada 953.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun satu mata kepada 195.84, Indeks Perladangan susut 21.39 mata kepada 6,966.54 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 46.88 mata kepada 17,398.35.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat