Bursa Malaysia dibuka pulih pada dagangan pagi dengan indeks utama kembali ke paras 1,600 selepas mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street semalaman berikutan data tuntutan pengangguran mingguan yang lebih rendah daripada jangkaan.
Jam 2.40 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI berada pada 1,599.34 iaitu naik sebanyak 8.96 mata (0.56%) daripada ia ditutup pada 1,590.38 pada hari Khamis.
Indeks dibuka 10.78 mata lebih tinggi dengan berada pada 1,601.16.
Sentimen pasaran meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 551 berbalas 59. Manakala, 168 kaunter tidak berubah, 1,664 tidak didagangkan dan 22 lagi digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 264.19 juta unit yang bernilai RM137.57 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata perhatian kini akan beralih kepada data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS pada Rabu depan.
Walaupun Wall Street mencatatkan peningkatan, sentimen bursa tempatan akan kekal berhati-hati menjelang penghujung minggu.
Beliau menjangkakan indeks akan berlegar-legar dalam julat 1,590 hingga 1,600 hari ini.
Sementara itu, antara saham wajaran tinggi seperti Maybank dan Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM10.18 dan RM14.04, masing-masing, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.24, CIMB naik enam sen kepada RM7.36 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.19.
Kaunter aktif juga menyaksikan keputusan aliran menaik dengan Cape EMS dan KGW mengukuh dua sen masing-masing kepada 49.5 sen dan 27 sen. ATA IMS meningkat lima sen kepada 43.5 sen, Nova MSC meningkat 1.5 sen kepada 20 sen dan Siab Holdings lebih baik satu sen kepada 14.5 sen.