Bursa Malaysia susut bawah paras 1,500 mata!

280

Bursa Malaysia merosot di bawah paras 1,500 mata beberapa minit selepas ia dibuka untuk sesi urus niaga pagi ini.

Menurut laporan Bernama, bursa tempatan itu dijangka kekal pada tahap semasa selepas meraih keuntungan baru-baru ini.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 21.35 mata atau 1.41 peratus kepada 1,497.97 daripada 1,519.32 ketika ditutup petang semalam.

Indeks utama jatuh 13.58 mata kepada 1,505.74 ketika dibuka pagi ini.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada margin yang besar iaitu 476 berbalas 77 manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,295 tidak diniagakan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan pagi ini ialah 590.80 juta saham bernilai RM186.04 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya menjangkakan paras semasa bursa tempatan akan berlanjutan dalam jangka masa terdekat (FBM KLCI) dengan keuntungan akan diukur oleh kelemahan terutama membabitkan kaunter berwajaran tinggi sarung tangan.

“Buat masa ini, sebarang pemulihan kukuh akan diatasi oleh aktiviti pengambilan untung,” katanya sambil menambah saham murah mungkin akan terus bertahan di sebalik sentimen pasaran negatif ini walaupun terdapat banyak peluang untuk meraih keuntungan.

Secara teknikalnya, firma broker itu berpendapat paras 1,500 sebagai sokongan segera diikuti dengan 1,480 sementara paras halangan pada 1,555-1,580.

Pada tahap pembukaan, lebih dua pertiga daripda 30 kaunter berkaitan FBM KLCI berada dalam zon merah kecuali Hong Leong Bank yang mengukuh 12 sen kepada RM14.92.

Maybank jatuh 21 sen kepada RM7.29, Top Glove rugi 20 sen kepada RM7.44, Petronas Chemicals lebih rendah 17 sen kepada RM5.50, Hartalega menyusut 30 sen kepada RM13.30 sementara Tenaga merosot 18 sen kepada RM11.14.

Dalam kalangan saham paling cergas, Ekovest meningkat 3.5 sen kepada 54 sen, Sapura Energy naik setengah sen kepada 11 sen manakala Lambo, Priceworth International dan EA Holdings, semua tidak berubah pada 4.5 sen, tiga sen dan tiga sen.

Saham paling rugi didahului oleh Petronas Dagangan pada RM20.90 diikuti oleh Panasonic Malaysia yang berkurangan 58 sen kepada RM29.00.

Kossan rugi 50 sen kepada RM12.00, MPI jatuh 42 sen kepada RM17.38 sementara Carlsberg lebih rendah 36 sen kepada RM19.62.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 147.49 mata kepada 10,774.58 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 189.54 mata kepada 12,683.56.

Indeks FBM 70 merosot 210.93 mata kepada 13,898.83, Indeks FBMT 100 53.25 mata lebih rendah kepada 10,580.49 dan FBM ACE berkurangan 128.25 mata kepada 10,262.47.

Mengikut sektor, Indeks Real Estate Investment Trust (REIT) meningkat 0.18 mata kepada 848.24 sementara Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 71.31 mata kepada 3,522.79.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 130.76 mata kepada 12,612.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 2.20 mata kepada 134.87 dan Indeks Perladangan jatuh 66.92 mata kepada 7,033.51.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat