Bursa Terjejas Akibat Peningkatan Kes Covid-19

158

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini susulan keadaan pasaran yang masih lengang pada awal dagangan menjelang hujung minggu, dengan peningkatan kes COVID-19 di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Bernama melaporkan, pada pukul 9.02 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.58 mata kepada 1,493.19 daripada 1,496.77 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.93 mata lebih rendah kepada 1,494.84.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 145 berbanding 137 manakala 226 kaunter tidak berubah, 1,589 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 177.51 juta unit bernilai RM69.91 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, ekoran kekurangan minat belian susulan, indeks utama akan kekal mengalami keadaan tidak banyak berubah dengan kecenderungan menurun.

Ia berkata, peningkatan jumlah kes COVID-19 baharu akan memperlahankan pemulihan ekonomi negara.

“Bagaimanapun, saham berharga rendah berusaha mendapatkan asas pergerakan meningkat, dengan tumpuan mengikut pusingan sektor akan mengekalkan minat dagangan pada tahap yang baik.

“Bagi tumpuan sektor, kami berpendapat minat belian semakin bertambah terhadap sektor penjagaan kesihatan susulan peningkatan jumlah kes COVID-19 di peringkat tempatan dan luar negara,” menurut firma pembrokeran itu.

Ia juga berkata sektor teknologi terus memperoleh minat dagangan kukuh dalam keadaan unjuran lebih baik.

Di peringkat global, pasaran saham AS meningkatkan dalam tempoh semalaman dengan Purata Perindustrian Dow Jones naik 0.1 peratus memandangkan pelabur terus memantau perkembangan rang undang-undang rangsangan baharu.

Pasaran saham Eropah turut ditutup tinggi, sementara pasaran saham Asia mencatatkan pergerakan naik dengan pasaran saham Jepun, Hong Kong dan China ditutup sempena cuti perayaan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM7.16, Public Bank susut 10 sen kepada RM15.68, Top Glove tidak berubah pada RM8.43 namun Hartalega menambah 10 sen kepada RM16.36.

Bagi kaunter aktif, Perak Transit tidak berubah pada 29 sen, Bintai Kinden naik setengah sen kepada 67 sen, SDS menokok 1.5 sen kepada 21 sen sementara K-Star turun 1.5 sen kepada 23 sen.

Saham paling untung, Malaysian Pacific naik 20 sen kepada RM19, Apex Healthcare meningkat 15 sen kepada RM3.48 dan Vitrox menambah 10 sen kepada RM12.74.

Bagi kaunter rugi, Nestle mendahului senarai dengan susut 40 sen kepada RM140.10, Aeon Credit turun 20 sen kepada RM10.10 dan Ajinomoto kurang 20 sen kepada RM15.60.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 21.51 mata kepada 10,777.11 dan Indeks FBMT 100 turun 22.88 mata kepada 10,599.59.

Indeks FBM Emas Syariah kurang 19.57 mata kepada 12,833.00, FBM 70 turun 20.73 mata kepada 14,130.92 namun FBM ACE naik 0.13 mata kepada 9,858.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 32.91 mata kepada 12,403.78, Indeks Perladangan susut 29.30 mata kepada 6,886.19 sementara Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.22 mata kepada 137.75.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat