Cara Bijak AirAsia Keluar Daripada Masalah Kewangan

15,249

Hasrat AirAsia Group Bhd untuk melaksanakan tawaran saham persendirian sehingga 20% daripada 3.34 bilion saham sedia ada dilihat akan meletakkan kumpulan itu dalam hala tuju lebih tepat.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata, langkah itu turut berperanan bagi menangani sebahagian daripada kebimbangan mengenai isu kewangan AirAsia.

Lapor Bernama, sebelum ini, pihak pengurusan syarikat penerbangan tambang rendah itu membuat unjuran konservatif mengenai keperluan modal kumpulan kira-kira RM2 bilion hingga RM2.5 bilion bagi membolehkannya berada dalam kedudukan selesa sehingga akhir tahun kewangan 2021 (TK21).

“Kami bersetuju dengan anggaran pihak pengurusan itu yang sejajar dengan unjuran kami bahawa keperluan wang tunai semasa kumpulan dan berkaitan adalah sekitar RM1.2 bilion. Ini merupakan unjuran optimistik yang merangkumi baki tunai setakat sembilan bulan 2020 (9M20) dan hasil daripada jualan sebahagian daripada kepentingan AirAsia India, baru-baru ini.

“Jumlah itu mewakili kira-kira 5.5 kali kadar perbelanjaan modal bulanannya iaitu kira-kira RM220.0 juta setakat keputusan pendapatan bagi 9M20,” ujar bank pelaburan itu.

Menurut MIDF, ini juga sekurang-kurangnya dapat membantu kumpulan itu ketika pihak pengurusan AirAsia terus mempertimbangkan penyelesaian bersifat kekal dan jangka panjang bagi mengatasi masalah kewangannya.

Mengulas pusingan kedua pendanaan, jelas MIDF, kumpulan itu berkemungkinan perlu melalui beberapa lagi langkah sama bagi pengumpulan dana yang turut mendedahkan pemegang saham sedia adanya kepada lebih banyak penjualan di masa depan.

Tambah MIDF, perkembangan mengenai tahap jangkitan Covid-19 di Malaysia dan pasaran utama lain AirAsia Group yang membimbangkan, turut menjejaskan anggaran pemulihannya bagi tahun ini.

Sehubungan itu, MIDF mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham kumpulan itu dengan harga sasaran disemak semula kepada 37 sen.

Semalam, kumpulan itu bercadang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian sehingga 20% daripada 3.34 bilion saham sedia ada bagi mengumpul kira-kira RM454.51 juta yang akan membantu mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Hasil kasar yang diraih akan digunakan untuk penyelesaian lindung nilai bahan api, bayaran pajakan dan penyelenggaraan pesawat serta perbelanjaan modal kerja am.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat