Catat Kerugian Suku Pertama, Saham Sapura Energy Mendatar

325

Saham Sapura Energy Bhd hampir tidak bergerak pada awal urus niaga hari ini selepas mencatat kerugian bersih RM97.07 juta pada suku pertama berakhir 30 April 2021 berbanding dengan keuntungan bersih RM14.21 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Bernama melaporkan, pada 11 pagi, kaunter itu tidak berubah pada 13 sen dengan 60.60 juta saham diniagakan.

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas bersepadu tersebut berkata, prestasi negatif yang dicatatkan terutama disebabkan oleh kesan buruk dolar AS terhadap Ringgit Malaysia dan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat sekutu dan usaha sama.

Pendapatan bagaimanapun meningkat 8.4% kepada RM1.47 bilion pada tempoh suku kajian daripada RM1.36 bilion sebelumnya, terutama didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan serta penggerudian.

AmBank Research menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata, memandangkan kesan yang berterusan daripada pandemik, firma terbabit telah menurunkan unjuran pendapatan tahun-tahun kewangan 2022 – 2024 sebanyak 12-16% berikutan kos operasi yang lebih tinggi berserta peningkatan andaian kos pengeluaran untuk bahagian eksplorasi dan pengeluaran (E&P) milik 50% Sapura OMV.

Sementara itu, MIDF Research berpendapat usaha masa depan Sapura Energy akan meningkat berdasarkan tinjauan harga minyak mentah global yang positif pada tahun kewangan 2021 dan ini akan memberi manfaat kepada segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan serta E&P syarikat berkenaan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat