China Akhirnya Dedah Rincian Undang-Undang Keselamatan Hong Kong

282

Rakyat di Hong Kong boleh dipenjara seumur hidup sekiranya melanggar undang-undang keselamatan baru yang mencetuskan kontroversi sejak akhir-akhir ini.

Perincian kepada undang-undang keselamatan tersebut didedahkan oleh China, tidak lama selepas ia diluluskan penguatkuasaannya pada Selasa, sekali gus menafikan desakan daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara lain untuk tidak melaksanakannya.

Undang-undang tersebut menyenaraikan empat kategori kesalahan iaitu pemisahan, penindasan, keganasan dan campur tangan asing. Hukuman minimum untuk setiap jenayah adalah penjara 3 tahun, atau maksimum penjara seumur hidup.

Dalam konteks ini, China akan diberi kuasa untuk mengambil alih pendakwaan di bawah tiga senario iaitu kes campur tangan asing yang serius, kes berat dan ketika keamanan negara digugat.

Malah, sebarang kesalahan yang melibatkan ancaman atau kekerasan, pemimpin atau pelakunya boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau minimum penjara tidak lebih 10 tahun.

Selain itu, China juga dibenarkan untuk menubuhkan sebuah badan keselamatan di Hong Kong yang dikendalikan oleh pegawai yang tidak terikat dengan undang-undang tempatan.

Kegiatan agensi keselamatan negara dan pegawai Hong Kong berkaitan undang-undang baru itu tidak akan berada di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan, tetapi sebaliknya di bawah tanggungjawab kerajaan pusat di Beijing.

Tindakan China meluluskan undang-undang tersebut semestinya telah menimbulkan kritikan dari beberapa negara lain, terutamanya Amerika Syarikat dan Britain. Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengecam dengan mengatakan tindakan itu telah memusnahkan autonomi Hong Kong.

Terbaru, polis Hong Kong mengumumkan bahawa mereka telah membuat penangkapan pertama sejak undang-undang itu dikuatkuasakan, di mana puluhan orang dilaporkan telah ditangkap pada hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat