China terus ‘menunjukkan kedegilannya’ di Laut China Selatan selepas menerbangkan pesawat peronda jarak jauh semalam, sekali gus mencetuskan lagi ketegangan di wilayah pertikaian berkenaan.
Lapor Express UK, jet pejuang itu terbang pada jarak yang rendah melalui ruang udara Kepulauan Spratly.
Jet tersebut dilengkapi dengan peluru berpandu dan terbang selama 10 jam di wilayah terbabit.
Menurut pemerhati ketenteraan, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China menerbangkan pesawat itu sebagai respon terhadap latihan ketenteraan yang dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di Laut China Selatan baru-baru ini.
Beijing dikatakan menghantar tentera secara besar-besaran ke wilayah itu yang kaya dengan habitat laut dan berkemungkinan mempunyai simpanan gas serta minyak.
Pesawat itu diterbangkan selepas Australia menghantar memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang menegaskan tuntutan China ke atas wilayah itu adalah tidak sah di sisi undang-undang.
AS juga dilaporkan melakukan rondaan di wilayah berkenaan dengan kerap bagi melihat sendiri perluasan ‘jajahan’ Beijing di wilayah tersebut.