China Edar Vaksin Covid-19 Bermula November

640

Vaksin coronavirus yang sedang dibangunkan di China berkemungkinan sedia digunakan oleh orang ramai seawal November ini, Pusat untuk Kawalan Penyakit dan Pencegahan China (CDC).

China kini sedang membangunkan empat vaksin Covid-19 yang sudah berada dalam peringkat terakhir ujian klinikal. Sekurang-kurangnya tiga daripada vaksin tersebut sudah diberikan kepada para pekerja di bawah program penggunaan kecemasan yang dilancarkan bulan lalu.

Ujar Ketua Pakar Biokeselamatan CDC, Guizhen Wu, fasa 3 ujian klinikal dilaporkan berjalan dengan baik dan vaksin tersebut sedia diedarkan kepada orang ramai pada November atau Disember.

Wu yang pernah menjadi sukarelawan untuk menyuntik vaksin ujian klinikal dalam badannya pada April lalu, tidak mengalami sebarang simptom luar biasa selepas mengambil suntikan berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan vaksin mana yang akan diedarkan kepada orang ramai.

Tiga vaksin dibangunkan oleh China National Pharmaceutical Group (Sinopharm) dan Sinovac Biotech manakala vaksin keempat dibangunkan oleh CanSino Biologics. Vaksin yang dibangunkan oleh CanSino Biologics diluluskan untuk kegunaan tentera China pada Jun lalu.

Terdahulu, Sinopharm pada bulan lalu berkata vaksin akan tersedia selepas ujian Fasa 3 dimuktamadkan.

Anda mungkin juga berminat