China Sengaja Sembunyikan Jumlah Pesakit COVID-19 Yang Dijangkiti Semula?

10,153

Pihak berkuasa Hubei mengeluarkan sebuah kenyataan bahawa pesakit COVID-19 yang dijangkiti semula tidak dikira sebagai kes baru. Para pesakit yang telah dibenarkan untuk keluar dari hospital serta diuji positif COVID-19 untuk kali kedua tidak akan diklasifikasikan sebagai kes baru dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa mereka akan terus dijangkiti.

Menurut timbalan pengarah kesihatan wilayah berkenaan, pesakit yang disahkan positif dan mengalami gejala COVID-19 buat kali kedua, mereka akan dihantar semula ke hospital bagi mendapatkan rawatan.  Oleh itu, mereka akan dipantau selama 2 minggu serta dikuarantinkan. Walau bagaimanapun, ianya tidak dikira sebagai kes baru.

Selain itu, Suruhanjaya Kesihatan Nasional berkata terdapat 81,093 kes telah disahkan dan lebih 72,200 daripadanya telah pulih serta dibenarkan keluar dari hospital. Di samping itu, rantaian penularan ke seluruh negara dikhabarkan telah putus tetapi risiko kes berasingan atau wabak  setempat masih wujud.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di wilayah Guangdong menyatakan bahawa terdapat kira-kira 14% pesakit yang dijangkiti semula pada bulan lalu. Menurut presiden Universiti Perubatan Guangzhou, terdapat 2 faktor pesakit yang telah sembuh disahkan positif COVID-19 untuk kali kedua.

Pertama sekali, berkemungkinan masih terdapat sedikit virus yang dibawa ketika keluar dari hospital. Oleh itu, pihak hospital perlu menjalankan lebih banyak ujian terhadap pesakit tersebut bagi pengesahan. Kedua, terdapat kemungkinan bahawa mereka tidak mempunyai imuniti yang tinggi setelah pulih.  Tetapi, hanya 1% yang tergolong dalam kalangan ini.

Namun, apa yang berlaku ini cukup mengejutkan! Berdasarkan sebuah laporan yang dikeluarkan, 5 hingga 10% kes didakwa telah berlaku di kawasan tertentu dalam wilayah Wuhan yang melibatkan pesakit yang telah sembuh dijangkiti semula. Selain dari Hubei dan Guangdong, kes yang sama juga telah dilaporkan di Sichuan, Hunan, Tianjin dan Shaanxi. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa China tidak mendedahkan berkenaan panduan atau rawatan khusus yang melibatkan pesakit ini.

Hakikatnya, kes sebegini bukan sahaja berlaku di China malah di Jepun dan Korea Selatan.  Pada akhir Februari lalu, seorang pemandu pelancong di Jepun telah disahkan positif COVID-19 kali kedua. Manakala di Korea Selatan pula, seorang wanita berusia 73 tahun didakwa dijangkiti buat kali kedua setelah keluar dari hospital.

Berdasarkan panduan rawatan NHC, pesakit dikategorikan sembuh apabila tekak dan hidungnya disahkan bebas daripada jangkitan dalam 2 ujian berturut-turut manakala imbasan CAT tidak menunjukkan sebarang masalah dalam paru-paru serta tidak mengalami sebarang gejala seperti demam.

Berikutan dengan kes dijangkiti semula yang seakan-akan disembunyikan dan tidak didedahkan, netizen mula mempersoalkan peranan kerajaan China. Mereka mendakwa bahawa pihak kerajaan perlu mengumumkan bilangan pesakit atau kes yang dijangkiti semula.

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat