China Tidak Gentar Untuk Hadapi Perang Dagang – Presiden China Xi Jinping

283

Presiden China Xi Jinping dalam satu ucapannya di Beijing, memberitahu bahawa China mahu menyelesaikan perjanjian perdagangannya dengan Amerika Syarikat atas dasar saling menghormati dan kesaksamaan.

Selain itu, beliau juga berkata negaranya cuba mengelak daripada berlakunya perang dagang, tetapi jika ia berlaku, China tidak gentar untuk melawan balik.

Kenyataan itu datang beberapa hari selepas Presiden AS Donald Trump mengatakan China tidak mencapai tahap yang beliau inginkan dalam rundingan tersebut menyebabkan keraguan mula timbul sama ada dua negara itu akan mencapai perjanjian untuk menamatkan pertikaian perdagangan yang sekian lama berlanjutan.

Sementara itu, dalam laporan terbaru oleh CNBC yang memetik kata-kata pegawai AS di Chamber of Commerce, Myron Brilliant memberitahu perjanjian perdagangan fasa pertama mungkin tidak akan ditandatangani sebelum tarif pada 15 Disember mula dikuatkuasakan.

Namun, beliau mengakui bahawa perjanjian itu dilihat sebagai satu langkah ke arah yang betul untuk mengatasi ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia.

Perjanjian fasa pertama yang dipersetujui pada Oktober lalu telah membawa pelbagai keraguan apabila China bertegas mahu memuktamadkan rundingan dengan lebih banyak pembatalan tarif. Bagaimanapun, menurut Brilliant, penghapusan semua tarif selepas fasa pertama tidak akan terjadi.

Terdahulu, China telah menjemput perunding perdagangan AS untuk berunding secara bersemuka di Beijing dengan harapan pertemuan tersebut dapat diadakan sebelum hari Khamis depan.

Susulan itu, pegawai AS pula telah menyatakan kesediaan mereka untuk bertemu, tetapi turut menyatakan keengganan untuk berunding jika China tidak menjelaskan komitmennya terhadap perlindungan harta intelek, pemindahan teknologi dan pembelian pertanian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat