COVID-19 Bakal Jejaskan Pertumbuhan Negara Membangun Di Asia – Bank Dunia

496

Bank Dunia menjangkakan wabak pandemik coronavirus akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi di negara-negara membangun di rantau Asia, termasuk China, berdasarkan laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik April 2020 yang dikemaskini pada Isnin.

Walaupun ramalan yang tepat agak sukar dibuat berikutan situasi yang berubah dengan cepat, tetapi bank itu meramalkan pertumbuhan di Asia akan menyusut kepada 2.1% pada tahun 2020 daripada anggaran pertumbuhan sebanyak 5.8% pada 2019.

Negara pertama yang terkesan akibat penularan coronavirus iaitu China, dijangka akan mengalami pertumbuhan lebih perlahan kepada 2.3% berdasarkan senario garis dasar berkenaan, berbanding 6.1% yang direkodkan pada 2019.

Kesan penularan COVID-19 yang membawa kepada gangguan besar-besaran dalam aktiviti ekonomi dikatakan akan berlarutan hampir sepanjang tahun sebelum terdapat pemulihan menjelang akhir tahun ini.

Langkah rangsangan yang diambil bagi membendung wabak ini dijangka akan membawa kepada pemulihan, namun tekanan yang dialami dalam pasaran kewangan adalah tinggi dan ia akan mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Antara yang paling teruk terjejas adalah negara-negara yang sangat bergantung kepada sektor perdagangan, pelancongan dan komoditi, serta mempunyai hutang yang tinggi.

Dalam senario yang lebih rendah, Filipina, Papua New Guinea, Indonesia, Malaysia, Timor Leste dan Thailand diramalkan akan mengalami penguncupan dalam pertumbuhan pada tahun ini.

Menurut unjuran yang disemak semula oleh Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi di Malaysia pada tahun 2020 diramalkan akan menguncup kepada 0.1% daripada sasaran 4.5% yang dibuat sebelum ini.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat