Covid-19 Makin Ganas, Harga Minyak Kecundang Di Sesi Asia

299

Harga minyak mentah memanjangkan penurunan minggu lalu dengan diniagakan lebih rendah pada Isnin ditekan oleh kebimbangan permintaan yang berterusan berikutan Amerika Syarikat dan Eropah menyaksikan satu lagi peningkatan jumlah kes Covid-19 paling tinggi pada hujung minggu.

Penanda aras minyak mentah Brent susut 1.4% kepada $41.47 setong, sementara WTI Amerika Syarikat menyusut 1.5% dan didagangkan rendah pada $39.23 setong, jatuh lebih daripada $1 sejurus selepas permulaan dagangan sesi Asia.

Amerika Syarikat melaporkan jumlah jangkitan coronavirus baru yang paling tinggi dalam tempoh dua hari hingga Sabtu, sementara di Perancis pula kes baru mencecah lebih daripada 50,000 pada hari Ahad, yang menunjukkan betapa seriusnya penularan wabak tersebut.

Selain itu, penurunan harga komoditi hitam juga terkesan dengan kembalinya eksport minyak Libya yang dijangka akan menambah pengeluaran sehingga 1 juta tong sehari dalam 4 minggu ke pasaran yang telah pun mengalami lebihan bekalan.

Turut menekan harga emas hitam adalah jangkaan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, termasuk Rusia, OPEC+ akan melonggarkan pemotongan pengeluaran kepada 5.8 juta tong sehari pada Januari depan.

Bagaimanapun, masih belum ada kata putus mengenainya dan ia akan diputuskan pada mesyuarat OPEC pada 30 November dan 1 Disember. Minggu lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan kesediaan beliau untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran minyak sekiranya diperlukan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat