Cukai SST Ditetapkan 6% – 10%: Ini Pendapat Pakar Tentang Kesannya Kepada Rakyat Malaysia

3,112

Selepas daripada pengurangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada kadar sifar, kerajaan telah mengumumkan cukai SST sebagai ganti bermula pada 1 September.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Isnin (16 Julai) mencadangkan cukai jualan ditetapkan pada kadar 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus. Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan pada 1 September akan dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum diluluskan dan seterusnya dilaksanakan.

Lim berkata, SST dijangka menyumbang pendapatan sebanyak RM4 Billion kepada kerajaan untuk tahun ini.

“Hasil ini akan digunakan untuk menutup sebahagian kerugian kerajaan sebanyak RM21 Billion selepas memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula Jun lalu,” demikian kata beliau selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2018 pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Lim berkata SST, serta peningkatan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menyumbang RM14.4 Billion tambahan hasil kepada kerajaan bagi mengimbangi kehilangan RM21 Billion hasil daripada kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai Jun tahun ini.

Pendapat Pakar Terhadap Cukai SST

Ada pendapat yang mengatakan harga akan jatuh secara umumnya, namun ada juga yang berpendapat akan ada peningkatan harga untuk beberapa item barangan dan perkhidmatan yang diberikan.

Yong Min Jie seorang konsultan di firma pengurusan cukai berkata cukai jualan adalah berdasarkan kos pembuatan dan kos import barangan dan jika cukai itu berdasarkan kadar sebelum ini iaitu 10%, harga barangan akan turun.

“Ini adalah baik kepada pengguna tidak seperti cukai GST yang menyebabkan kenaikan harga barang,” tambah Yong.

Seorang lagi pakar percukaian Anthony Dass iaitu ketua penganalisis ekonomi di Ambank Group berkata akan terdapat kesan positif dan negatif oleh cukai SST. “Kita boleh jangka harga kereta akan naik dan lebih tinggi daripada cukai GST dalam 2% hingga ke 3%.

“Bagi barangan pengguna seperti makanan dan minuman, kita boleh jangka harga akan turun sekitar 3% selepas penjimatan kos input. Manakala harga hartanah contohnya perumahan baru dijangka mengalami penurunan harga kerana penjimatan kos input.

Seorang lagi pakar percukaian dari Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, pendapatan boleh guna pengguna akan meningkat.

“Keseluruhannya, beban cukai dianggarkan akan berkurang dalam RM10 – RM15 billion. Amaun ini adalah peningkatan kepada pendapatan boleh guna kepada pengguna atau rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat