Data ADP non-farm payroll yang dikeluarkan sebentar tadi mencatatkan tambahan di luar jangkaan sebanyak 246,000 pekerjaan baru dalam sektor swasta. Data ini lebih daripada jangkaan sebanyak 165,000 dan data bulan sebelum iaitu 151,000.
ADP non-farm payroll ialah data yang menunjukkan perubahan tenaga kerja dalam negara US yang hanya melibatkan sektor swasta. Data ini dikeluarkan oleh ADP (Automatic Data Processing, Inc).
Data kali ini melonjakkan keyakinan kepada pasaran buruh US sebelum pengumuman data NFP pada Jumaat.
Sejurus sahaja data ini dikeluarkan, pasaran memberikan respon yang signifikan dengan US dolar dilihat menguat berbanding matawang utama dunia yang lain. Eur/Usd melemah dan mencatatkan kejatuhan 40 pip setakat ini, dengan Usd/Jpy menguat hampir 50 pip sebentar tadi.
Diingatkan kepada para pembaca bahawa pada 3 Februari ini, laporan Non-Farm Payroll untuk bulan Januari akan dikeluarkan pada pukul 9.30 malam. Data NFP merupakan data pekerjaan yang paling ditunggu-tunggu setiap bulan kerana impaknya yang begitu tinggi kepada pasaran. Data NFP juga akan menjadi tumpuan The Federal Reserve sebagai petunjuk keadaan pasaran buruh semasa.