Data Ekonomi AS Mengukuhkan USD, Aussie pula Lemah Ekoran Data GDP Yang Mengecewakan

425

Matawang dolar Amerika Syarikat melonjak ke paras tertinggi dua minggu dagangan berbanding matawang utama yang lain pada Selasa setelah data industri perkhidmatan di Amerika Syarikat kukuh dengan mencatatkan angka bacaan yang lebih tinggi daripada jangkaan peningkatan dan mengatasi bacaan sebelum ini.

Data jualan rumah baru di Amerika yang turut dikeluarkan bersama turut merekodkan kenaikan lebih tinggi mengatasi jangkaan kenaikan dan juga bacaan sebelumnya yang telah dikemaskini semula. Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat menyatakan jualan rumah kepada keluarga tunggal baru meningkat ke paras tertinggi tujuh bulan pada Disember.

Pound Sterling terus mencatatkan penurunan pada dagangan Selasa selepas jurucakap kewangan Parti Buruh pembangkang mengatakan bahawa hanya beberapa penggubal undang-undang akan menyokong pelan perjanjian Brexit Perdana Menteri Theresa May dan terdapat isyarat positif dalam rundingan di Brussels.

Matawang British itu didagangkan lemah bermula minggu ini selepas pelabur mula mengambil keuntungan pada posisi belian terdahulu berikutan kebimbangan terhadap langkah pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah kembali diragui pasaran.

Sementara matawang EURO masih didagangkan lemah berdepan risiko kepada jangkaan bank pusat Eropah yang memberikan isyarat akan menangguhkan langkah kenaikan kadar faedah sehingga tahun hadapan dan bakal melancarkan pinjaman bank jangka panjang untuk mengatasi isu pertumbuhan ekonomi yang perlahan di zon Eropah.

Matawang dolar Kanada turut didagangkan berisiko dan jatuh ke paras terendah berikutan kombinasi masalah perdagangan, peletakan jawatan oleh ahli kabinet Perdana Menteri Justin Trudeau dan juga jangkaan bahawa bank pusat Kanada berkemungkinan besar akan mengubah arah polisi monetari mereka.

Sesi pasaran Asia pagi ini menyaksikan data ekonomi di Australia dikeluarkan menunjukkan bacaan kadar pertumbuhan GDP (KDNK). Pertumbuhan GDP merosot kepada 0.2% untuk suku terakhir Disember 2018, lebih rendah daripada bacaan 0.3% sebelum ini dan juga meleset daripada jangkaan kenaikan ke paras 0.5%. Ini menunjukkan pertumbuhan yang paling lemah sejak suku tahun ketiga 2016 lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat