Dave Ramsden Beri Petanda BOE Akan Naikkan Kadar Faedah Lagi?

137

Timbalan Gabenor Bank of England (BOE), Dave Ramsden tidak menolak kemungkinan bahawa bank pusat itu perlu menaikkan lagi kadar faedah untuk menangani tekanan inflasi yang semakin berakar umbi dalam ekonomi UK.

Ramsden dalam temu bual bersama Reuters, memberitahu penyebaran inflasi kini muncul dalam pertumbuhan gaji UK dan pelan harga syarikat susulan pembukaan semula ekonomi daripada penutupan Covid-19 dan perang Rusia di Ukraine.

Beliau percaya bahawa inflasi akan kembali ke sasaran 2% BOE, tetapi terdapat juga risiko bahawa ia akan terus berkembang.

Secara peribadi, Ramsden berpendapat bahawa mereka perlu menaikkan lagi kadar faedah, tetapi beliau belum mencapai keputusan muktamad mengenainya dengan melihat kepada petunjuk data ekonomi yang akan dikeluarkan.

Pada minggu lalu, bank pusat England telah menaikkan kadar paling tinggi sejak 1995 kepada 1.75% berikutan tekanan harga yang semakin mencengkam negara itu.

Ramsden mengatakan bahawa mereka mengakui tindakan yang diambil itu akan menambahkan lagi persekitaran yang mencabar, tetapi pembuat dasar tetap komited untuk memastikan inflasi tidak berakar umbi dalam ekonomi.

Selain meningkatkan kadar, BOE juga merancang untuk menjual bon kerajaannya yang telah terkumpul sejak sedekad lalu (pengetatan kuantitatif), pada bulan depan.

Apabila ditanya sama bank pusat akan terus menjual bon jika ia perlu kembali membalikkan dasar dan mengurangkan kadar untuk menyokong ekonomi, Ramsden mengatakan senario itu adalah mungkin berlaku.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat