Debaran Menanti Hari Pendatanganan Perjanjian Fasa 1, Pasaran Mula Berwaspada!

539

Pergerakan beberapa matawang utama dilihat mula memperlihatkan penyusutan menjelang majlis menandatangani perjanjian fasa 1 yang dijadualkan berlangsung pada jam 11.30 pagi hari ini waktu Amerika, selain perhatian turut tertumpu kepada penerbitan data ekonomi di Eropah.

Dagangan pound yang mula mempamerkan pemulihan pada sesi Asia, kembali menyusut selepas seorang lagi ahli Bank Pusat England (BoE), Michael Saunders menyatakan pandangannya mengenai keperluan pemotongan kadar faedah disebabkan kelemahan pasaran buruh dan ekonomi di UK.

Menurut Saunders, ia adalah sesuai untuk mengekalkan pendirian dasar moteri yang lebih luas dan kemungkinan untuk pengurangan kadar faedah selanjutnya bagi mengurangkan risiko untuk mencapai sasaran inflasi 2%.

Saunders merupakan salah seorang daripada dua ahli BoE yang mengundi untuk pemotongan kadar faedah pada akhir 2019. Sejak itu, ahli-ahli yang lain turut mengutarakan pandangan masing-masing mengenai keperluan pelonggaran polisi oleh bank pusat, termasuk Gabenor BoE Mark Carney.

Matawang pound terus lemah apabila ditekan oleh data kadar inflasi tahunan UK bagi bulan Disember dengan catatan 1.3% daripada 1.5% yang dijangkakan oleh pasaran. Bacaan ini merupakan yang terendah sejak November 2016.

Keterujaan penantian untuk melihat dua negara ekonomi terbesar dunia memeterai perjanjian bertukar suram susulan tarif import sedia ada China dikatakan akan kekal dikenakan sehingga penyelesaian perjanjian fasa 2.

Dolar Amerika diniagakan mendatar berbanding safe haven yen dan didagangkan stabil berbanding beberapa matawang utama lain.

Dolar Aussie dan New Zealand yang turut terkesan dengan kenyataan mengenai tarif import China, kembali diniagakan berhati-hati berbanding US dolar.

Anda mungkin juga berminat