Debaran Menjelang Mesyuarat FOMC Mendorong Pergerakan Pasif Pasaran

769

Pasaran kewangan bergerak pasif pada hari ini dengan tumpuan utama pelabur lebih terarah pada keputusan mesyuarat mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis.

Sesi Asia hari ini menyaksikan dagangan Aussie yang sedikit melonjak berjaya mematahkan siri penurunan harga berbanding dolar Amerika Syarikat sejak dua minggu lalu. Kenaikan didorong oleh bacaan inflasi Australia untuk suku kedua 2019 yang mencatatkan kadar yang lebih tinggi berbanding jangkaan kenaikan oleh pasaran.

Sementara, dolar New Zealand pula merosot ekoran terkesan oleh data tinjauan keyakinan perniagaan ANZ untuk bulan Julai yang terus menurun.

Dolar Kanada pula mendatar selepas mencatatkan peningkatan sejak sesi semalam didorong oleh faktor ketegangan di Timur Tengah yang masih berlarutan yang telah meningkatkan harga minyak mentah dalam pasaran.

Perkembangan di Eropah, bacaan data-data ekonomi yang menghiasi pasaran pada sesi Eropah hari ini dilihat bercampur-campur dan tidak berjaya menyokong kenaikan pada dagangan dolar Euro. Euro berjaya mencatatkan sedikit kenaikan berbanding dolar Amerika pada minggu ini yang mendatar ekoran debaran pasaran menantikan keputusan FOMC awal pagi nanti.

Manakala Pound Sterling terus diniagakan rendah dalam pasaran dengan peningkatan terhadap jangkaan Britain akan berdepan situasi Brexit tanpa perjanjian.

Pasaran tidak meletakkan harapan walaupun pemimpin Parti Demokratik Ireland Utara, Foster menyatakan mereka masih kekal fokus untuk mencapai kesepakatan perjanjian Brexit.

Dilaporkan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berlangsung selama 2 hari di Shanghai telah berakhir. Wakil rundingan dari Amerika Syarikat dikatakan telah langsung menuju ke lapangan terbang untuk berlepas pulang.

Pasaran akan menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kedua-dua pihak rundingan untuk petunjuk baru terhadap sentimen pasaran.

Untuk data ekonomi, pada jam 8.15 malam laporan data pekerjaan ADP NFP yang mengukur pertambahan pekerjaan bagi sektor swasta di Amerika Syarikat akan mencuri tumpuan pelabur pada malam ini. Bacaan data akan memberi petunjuk awal terhadap laporan pekerjaan NFP pada jumaat.

Dan seterusnya, data pertumbuhan GDP Kanada pula akan menyusul dengan pasaran menjangkakan angka bacaan akan mencatatkan sedikit penurunan kepada 0.1% berbanding bacaan 0.3% sebelum ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat