Derita Bercinta? Derita Lagi Melihat Indeks Ekuiti Pagi Ini

147

Pasaran saham yang bergelora kembali dalam fasa penyusutan selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell mengesahkan bahawa bank pusat tersebut akan meneruskan kenaikan kadar faedah dengan lebih agresif.

Ijmal ucapan Powell mengesahkan bahawa Fed akan ‘menggunakan segala kudrat dan sumber secara paksa’ dalam mengawal inflasi Amerika Syarikat (AS), yang tertinggi melebihi 40 tahun, walaupun ia akan ‘menyakitkan’ ekonomi.

Ulas penganalisis ekonomi LPL Finance, Jeffrey Roach, inti pati Powell di Simposium Jackson Hole disimpulkan bahawa membendung inflasi adalah jauh lebih penting dari pada menyokong ekonomi buat masa ini.

Rentetan itu, pasaran Asia memulakan sesi dagangan pada nota negatif dengan Nikkei 225 Jepun susut 2.57% dan Topix turun 2.09% sementara Kospi Korea Selatan gugur 2.5% manakala Kosdaq junam 3.14%.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik saham luar Jepun turun 0.9%.

Menyingkap Wall Street, indeks-indeks utama yang bergelora sebelum ucapan Powell di Simposium Jackson Hole bertukar ‘merah menyala’ tatkala nada hawkish menghakis keyakinan pelabur.

Ketika sesi penutupan minggu lalu Dow Jones Industrial jatuh 3% pada 32,283.4, S&P 500 susut 3.4% pada 4,057.7 dan Nasdaq Composite turun 3.9% pada 12,141.7.

Dalam pada itu, tumpuan sepanjang minggu akan terarah kepada data keyakinan pengguna, data pekerjaan swasta (ADP), data tawaran pekerjaan (JOLTS), data sektor pembuatan tinjauan ISM dan data pekerjaan NFP AS.

Pada sisi berbeza, nota Perbendaharaan 2 tahun AS capai 3.45%, hasil 10 tahun naik 3.09% dan hasil 30 tahun lonjak 3.2%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat