Dipaksa Berhenti Sekolah, Ini Kisah Inspirasi Warren Buffett Asia

2,071

Ketika berusia 15 tahun, kita sedang sibuk membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan di sekolah. Langsung tidak terfikir untuk mencari wang kerana segalanya telah disediakan oleh ibu bapa. Lain pula kisahnya dengan seorang lelaki yang digelarkan sebagai ‘Superman Hong Kong’ atau ‘Warren Buffett Asia’ ini.

Li Ka Shing dilahirkan pada 1928 di wilayah Guangdong, China. Keluargnya telah berpindah ke Hong Kong pada tahun 1940-an ketika peperangan Sino-Jepun II.

Beliau telah dipaksa untuk berhenti sekolah pada usia 15 tahun kerana kematian ayahnya dan mula bekerja di sebuah kilang plastik. Pengalaman tersebut telah membentuk dirinya menjadi salah seorang usahawan yang berjaya pada hari ini.

Li menubuhkan sebuah syarikat plastik yang diberi nama Cheung Kong Industries pada tahun 1950. Nama tersebut diambil sempena Sungai Yangtze di China yang menghubungkan banyak sungai serta mencerminkan kepercayaan ahli perniagaan dalam sinergi dan kuasa gabungan.

Syarikat berkenaan telah tersenarai dalam Bursa Saham Hong Kong pada 1972 dan berkembang menjadi sebuah empayar yang merangkumi lebih dari 50 buah negara dengan 300,000 pekerja dalam pelbagai bidang seperti hartanah, telekomunikasi, perkapalan dan peruncitan.

Kini, Li mengendalikan salah sebuah pelabuhan kontena terbesar dunia, Hutchison Port serta peruncit kesihatan dan kecantikan terbesar Asia, Watson.

Semua perniagaannya telah disatukan ke dalam 2 buah syarikat utama pada tahun 2015 iaitu CK Asset Holdings untuk perusahaan hartanah dan CK Hutchison untuk perusahaan lain. Kedua-duanya memiliki modal pasaran lebih daripada $80 bilion.

Dalam kerjayanya, Li telah memegang gelaran lelaki terkaya di Hong Kong selama dua dekad. Seterusnya, beliau menjadi individu paling kaya di Asia dengan jumlah kekayaan semasanya dianggarkan bernilai $35.3 bilion.

Kejayaan yang diperolehi oleh Li Ka Shing dalam membina sebuah empayar perniagaan telah mempopularkan dirinya sebagai ‘superman’ di Hong Kong dan Warren Buffett Asia. Hal ini disebabkan oleh keupayaan beliau dalam mendorong Hong Kong menjadi hab kewangan dan perniagaan yang terkemuka pada hari ini.

Kini, Li mula melibatkan diri dalam pelaburan. Beliau menjadi salah seorang pelabur awal Razer, perusahaan perkakas permainan video yang ditawarkan kepada awam dan paling mendapat tempat di Hong Kong.

Sama seperti Buffett, Li memilih untuk bersederhana dalam pemakaiannya. Jika Buffett memilih untuk tetap menggunakan telefon bimbit flip Samsung retronya berbanding telefon pintar manakala Li pula memilih untuk tetap memakai jam tangannya, Seiko yang bernilai $50 selama bertahun-tahun.

Selain itu, beliau juga dikenali sebagai salah seorang yang dermawan. Li Ka Shing Foundation telah dilancarkan pada 1980, yang menyediakan geran dan biasiswa merangkumi pendidikan, penjagaan kesihatan dan kemanusiaan. Hebat, bukan?

Siapa kata orang yang tidak berpendidikan, tidak boleh berjaya. Yang penting ialah usaha dan kesungguhan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat