Dolar Aussie & Kiwi Tidak Bermaya Dihentam USD

175

Matawang sensitif risiko, dolar Aussie dan New Zealand terus menjunam lebih rendah pada sesi Asia di tengah dagangan US dolar yang kukuh dan tekanan daripada pendirian dovish Bank Pusat Australia (RBA).

Penguasaan US dolar semakin meluas di seluruh pasaran dengan sokongan daripada bacaan data jualan runcit Amerika Syarikat yang positif menandakan negara itu terus mencatat pertumbuhan walaupun berdepan cabaran inflasi.

Bukan itu sahaja, laporan terbaru yang menunjukkan China gagal menepati janjinya dalam perjanjian perdagangan fasa 1 dengan Amerika Syarikat, menyebabkan sentimen pasaran bertambah suram.

Sehari selepas pertemuan maya Presiden Joe Biden dan Presiden Xi Jinping diadakan, Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo memberitahu bahawa Beijing tidak memenuhi komitmennya dalam perjanjian dagang yang telah ditandatangani tahun lalu.

Hal ini dilihat dapat menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara dalam isu perdagangan.

Susulan daripada itu, dolar Aussie tergelincir ke tahap terendah terbaru satu bulan pada sekitar harga 0.7275 berbanding USD pada sesi Asia.

Kenyataan Gabenor RBA Philip Lowe bahawa kadar faedah tidak akan dinaikkan dalam waktu terdekat, turut menambahkan lagi tekanan buat dagangan matawang itu.

Sementara itu, dolar kiwi turut tergelincir ke paras terendah satu bulan, membawanya didagangkan di bawah harga 0.7000 berbanding greenback.

Walaupun matawang itu tidak mengalami tekanan daripada Bank Pusat New Zealand (RBNZ), tetapi sentimen pasaran yang suram dan nilai USD yang kuat menyebabkan kiwi terus melemah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat