Dolar Euro Lemah Dengan Jangkaan Polisi Dovish Oleh Bank Pusat Eropah

302

Dengan kekurangan data-data utama, pergerakan pasaran pada minggu ini dilihat perlahan dan agak pasif sehingga menuju ke penghujung minggu. Tumpuan terarah pada mesyuarat polisi monetari bank pusat Eropah pada Khamis selain isu-isu geopolitik yang masih hangat.

Dagangan dolar Amerika Syarikat (AS) yang masih diniagakan lemah dilihat mendatar berbanding dolar Euro berikutan para pelabur lebih berwaspada menjelang mesyuarat polisi European Central Bank (ECB) dengan jangkaan polisi pelonggaran akan diteruskan dan berkemungkinan bank pusat itu akan menurunkan kadar faedah dan memulakan program pembelian aset.

Sentimen pasaran dilihat agak bercampur dengan tarikan terhadap aset berisiko kian pudar, namun permintaan terhadap aset safe-haven masih lemah.

Pelabur terus memantau perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China. Timbalan Presiden China, Liu He optimis dan beliau berharap rundingan akan terus berjalan lancar.

Dagangan Pound Sterling disokong oleh laporan data pekerjaan yang baik dengan bacaan data bagi purata gaji meningkat sementara kadar pengangguran di UK menurun untuk catatan Julai.

Perkembangan Brexit, Parlimen UK menggubal undang-undang yang bertujuan untuk menghalang Brexit tanpa perjanjian, sebelum sesi Parlimen berehat sehingga 14 Oktober.

Perdana Menteri UK Boris Johnson dalam kenyataannya menyebut bahawa pihak kerajaan sedang berusaha keras untuk mendapatkan perjanjian bersama Kesatuan Eropah namun mengingatkan situasi Brexit tanpa perjanjian adalah kebarangkalian yang akan berlaku jika benar-benar memerlukan.

Harga minyak mentah mencatatkan kenaikan pada sesi dagangan Selasa namun dilihat gagal mengekalkan momentum dengan data inventori minyak AS akan menjadi rujukan pada malam ini.

Presiden Trump mengumumkan bahawa beliau telah meminta Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton untuk meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan kebanyakan cadangan yang dikemukakan. Berita tersebut sedikit sebanyak mengurangkan ketegangan terhadap konflik di Timur Tengah.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat