Dolar Kiwi Gagal Pertahankan Peningkatan Walaupun Data Pekerjaan Memberangsangkan

255

Pembukaan sesi Asia hari ini menyaksikan peerbitan laporan pekerjaan New Zealand bagi suku pertama 2020 yang memperlihatkan bacaan yang lebih baik daripada jangkaan walaupun terkesan oleh pandemik coronavirus.

Kadar pengangguran New Zealand telah meningkat kepada 4.2% pada suku pertama tahun ini, daripada 4.0% sebelumnya, namun bacaan ini jelas lebih baik daripada unjuran pasaran untuk menokok lebih tinggi kepada 4.4%.

Selain itu, pertambahan dalam pekerjaan tanpa dijangka telah meningkat 0.7% daripada 0.1% pada suku sebelumnya, jauh melebihi jangkaan pasaran untuk menyusut 0.2% dengan kadar penyertaan tenaga kerja meningkat kepada 70.4% daripada 70.1%.

Walaupun dengan bacaan laporan pekerjaan yang lebih baik daripada dijangkakan, dolar New Zealand gagal mempertahankan peningkatannya berbanding US dolar, yang mana ia turut dipengaruhi oleh faktor lain.

Pengumpulan data ini kebanyakannya diambil sebelum kerajaan New Zealand melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara iaitu pada 25 Mac sehingga memaksa banyak aktiviti ekonomi dihentikan.

Berikutan itu, tuntutan faedah pengangguran telah meningkat dan kemerosotan dalam tawaran pekerjaan menunjukkan kadar pengangguran mungkin akan meningkat sehingga 10% sepanjang tahun 2020.

Bagi melindungi pekerja, kerajaan memperkenalkan subsidi gaji 12 minggu untuk membantu mengurangkan kesan awal kemelesetan, dan akan mengemas kini rancangan sokongan fiskal dalam belanjawan pada 14 Mei ini.

Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) juga dijangka akan meningkatkan program pelonggaran kuantitatif daripada NZ$ 33 bilion pada mesyuarat polisi akan datang, dengan tujuan untuk mengurangkan kesan kemerosotan ekonomi terhadap sasaran inflasi dan pekerjaannya.

Sementara itu, RBNZ dalam satu kenyataan mengenai kesan ekonomi dan langkah-langkah membendung pandemik coronavirus hari ini, meramalkan kejatuhan ketara dalam pertumbuhan ekonomi di New Zealand ketika perintah berkurung dilaksanakan.

Kesan daripada sekatan tahap 4 yang dilaksanakan oleh kerajaan, bank pusat melihat kejatuhan sehingga 37% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara jika sekatan dilonggarkan kepada tahap 1 pula, ekonomi dijangka menguncup kira-kira 4%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat