Donald Trump Bakal Dipecat Jawatan Presiden?

5,500

Pada hari ini, ahli parlimen Amerika Syarikat akan mengundi untuk pemecatan Presiden AS Donald Trump yang kini berhadapan dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi dan politiknya.

Ini adalah susulan transkrip panggilan yang dibuat oleh Trump kepada Presiden Ukraine pada 25 Julai yang menunjukkan beliau menggesa Zelensky untuk menyiasat tuduhan rasuah ke atas pesaing politiknya Joe Biden.

Semasa perbicaraan secara terbuka diadakan pada November lalu, keterangan oleh dua bekas saksi kerajaan telah memberikan bukti ketara yang menunjukkan Trump menuntut satu pertimbangan quid pro quo untuk urusan rasmi, yang bermaksud balasan terhadap sesuatu yang diberikan.

Ini berkaitan dengan $391 juta dalam bantuan keselamatan yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat untuk membantu memerangi pemisah yang disokong Rusia di timur Ukraine tetapi ditahan oleh Trump yang mahu Ukraine menjalankan siasatan ke atas Biden.

Berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh daripada keterangan saksi, Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi kemudiannya mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kehakiman akan mula merangka draf artikel mengenai pemecatan Trump.

Pada 10 Disember, jawatankuasa itu melancarkan dua artikel pemecatan dengan salah satunya menyentuh mengenai penyalahgunaan kuasa dan satu lagi kerana menghalang Kongres.

Selepas beberapa hari perbincangan, kedua-dua artikel tersebut diluluskan melalui undian oleh Jawatankuasa Kehakiman dan kemudiannya diserahkan kepada Dewan Perwakilan AS.

Pengundian pada hari ini dikatakan akan bermula dengan perdebatan oleh ahli-ahli Parti Demokrat dan Republik yang diketuai oleh pemimpin Jawatankuasa Kehakiman selama enam jam, dan seterusnya undian akan dijalankan.

Sementara itu, Donald Trump telah menghantar satu surat yang menggambarkan kemarahannya kepada Nancy Pelosi dengan menyatakan proses pemecatan yang sedang dijalankan ke atasnya merupakan ‘percubaan rampasan kuasa secara haram’.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat