Donald Trump Bengang Dengan Kejatuhan Pasaran Saham AS?

1,517

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan marah dengan kejatuhan dalam pasaran saham yang dipercayai berpunca daripada amaran yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pakar Pencegahan AS (CDC) kepada rakyat Amerika.

CDC sebelum ini telah menggesa rakyat di Amerika supaya melakukan persediaan bagi menghadapi kemungkinan penularan wabak coronavirus di negara itu selepas beberapa negara di seluruh dunia mula mencatat peningkatan dalam kes jangkitan dan kematian.

Memetik kepada laporan The Washington Post, Trump dikatakan telah memberi amaran bahawa kenyataan sedemikian boleh mencetuskan panik dan mendorong saham untuk jatuh lebih jauh.

Trump sebelum ini telah memberi kenyataan yang positif mengenai pasaran saham AS yang dilihat sangat baik di laman twitter beliau, walaupun pada ketika itu indeks saham Dow Jones telah jatuh lebih 1000 mata pada dagangan hari Isnin.

Indeks Dow Jones Industrial Average dan S&P 500 jatuh lebih daripada 3% pada dagangan hari Selasa, menjadikan penurunan masing-masing antara yang paling teruk sejak Februari 2018 dan Ogos 2015.

Menurut CNBC, S&P 500 telah kehilangan kira-kira $ 1.7 trilion daripada nilai sahamnya, susulan kejatuhan yang dialami selama dua hari berturut-turut.

Kebimbangan mengenai penularan wabak coronavirus ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pasaran saham AS, malah pasaran Eropah juga turut terjejas sama.

Laporan mengenai wabak coronavirus yang kini merebak luas di beberapa buah negara di Eropah telah mencetuskan panik di pasaran ekuiti Eropah untuk menjual hampir £ 100 bilion dalam masa dua hari.

Indeks FTSE 100 ditutup pada paras terendah dalam tempoh setahun dengan penurunan 1.9% pada Selasa.

Itali merupakan negara yang paling terjejas teruk di Eropah, manakala di Austria, Croatia, Sepanyol dan Switzerland pula masing-masing telah melaporkan kes jangkitan pertama.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat