Donald Trump Terus Agresif Untuk Kekal Menguasai Pasaran

659

Indeks dolar Amerika Syarikat sedikit menurun semalam selepas pelabur memberi fokus terhadap perang dagang antara Amerika Syarikat dan China serta data domestik bagi petunjuk untuk pertumbuhan ekonomi dan juga jangkaan penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve pada mesyuarat akan datang.

Sentimen pasaran sedikit pulih pada Isnin selepas Amerika Syarikat mencapai kesepakatan perjanjian bersama Mexico pada Jumaat lalu dan mengelakkan tindakan tarif dikenakan ke atas negara jirannya itu.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump telah mengancam untuk mengenakan tarif 5% terhadap kesemua barangan import Mexico jika negara tersebut tidak berusaha melaksanakan tindakan mengetatkan kawalan sempadan dalam membendung masalah aliran pendatang masuk ke sempadan Amerika.

Dengan ketegangan perang dagang AS-China yang berlarutan, turut dibebankan lagi oleh prospek Trump untuk mengenakan tarif terhadap Jepun dan Eropah, sentimen pasaran terus dilihat kekal berada dalam keadaan yang berisiko.

Pelabur gelisah berkenaan isu perang dagang yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan menguatkan lagi jangkaan bank pusat yang perlu memilih tindakan pemotongan kadar bagi meransangkan kembali pertumbuhan.

Data yang dikeluarkan semalam menunjukkan indeks harga pengeluar (PPI) Amerika Syarikat meningkat bagi bulan kedua berturut-turut walaupun masih ada tekanan terhadap harga.

Tumpuan pada hari ini adalah terhadap data indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat yang menjadi fokus bank pusat bagi petunjuk kadar inflasi. Selain itu juga, data jualan runcit pada Jumaat turut menjadi perhatian sebagai petunjuk sama ada kadar tarif yang dikenakan memperlahankan ekonomi.

Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat iaitu Wilbur Rose pada Selasa menyatakan, rundingan dagang AS-China akan diteruskan pada persidangan negara G20 yang akan berlangsung di Jepun pada bulan ini namun tiada jangkaan bahawa persetujuan akhir rundingan akan dicapai di sana nanti.

Presiden Donald Trump pada Isnin menyatakan bahawa beliau telah bersedia untuk mengenakan tarif pusingan baru terhadap barangan import China jika rundingan dagang masih gagal mencapai kesepakatan.

Beliau menambah lagi pada Selasa bahawa Beijing harus menarik balik keputusan untuk menolak beberapa langkah yang telah dirundingkan sebelum ini berkenaan dagangan.

Trump juga turut membuat tuduhan ke atas Eropah dengan mengatakan bahawa Eropah sengaja menurunkan nilai matawang mereka dan memberi kerugian terhadap dagangan dolar Amerika Syarikat. Beliau membuat kenyataan tersebut pada akaun media sosial twitter beliau dan terbaru, turut mengecam kadar faedah di Amerika Syarikat adalah terlalu tinggi.

Tindakan agresif Donald Trump dilihat cuba untuk menguasai pasaran dan memastikan Amerika Syarikat terus kekal memiliki kelebihan berbanding negara-negara lain.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat