Dua Kaunter Saham Diunjur Tarik Minat Belian

1,479

Bursa Malaysia meneruskan keuntungan yang diraih minggu lepas untuk dibuka tinggi pagi ini, seiring dengan sentimen positif bursa serantau yang lain.

Pada jam 9.22 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.84 mata kepada 1,610.27 berbanding 1,608.43 ketika ditutup pada urus niaga petang Jumaat minggu lepas.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 2.31 mata lebih tinggi pada 1,610.74.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 384 berbalas 279 sementara 363 kaunter tidak berubah, 1,171 tidak diniagakan dan 41 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.13 bilion saham bernilai RM597.71 juta.

Menurut Malacca Securities dalam nota penyelidikannya, indeks utama mungkin terus bergerak secara mendatar minggu ini tanpa sebarang pemangkin yang signifikan di pasaran.

“FBM KLCI mengakhiri minggu urus niaga tidak berubah di tengah-tengah sentimen pasaran yang agak lesu tetapi indeks minggu lepas telah disokong oleh minat belian di kaunter sarung tangan.

“Pasaran minggu ini mungkin memberi tumpuan kepada keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS bagi mendapatkan arah tuju pelaburan seterusnya.

“Kami menjangkakan minat belian untuk saham sarung tangan akan berterusan sehingga musim pengumuman keputusan kewangan memandangkan terdapatnya kepastian untuk mencatatkan pendapatan tinggi dalam sektor ini terutama dalam situasi ketika peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia.
Selain itu, pelabur mungkin memberi tumpuan kepada saham teknologi berikutan kenaikan Nasdaq,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.26, Public Bank naik satu sen kepada RM4.18, Top Glove menambah dua sen kepada RM10.02 sementara Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM7.85 dan IHH Healthcare jatuh tiga sen kepada RM5.45.

Bagi kaunter aktif pula, Minda Global menokok 2.0 sen kepada 19 sen, Ucrest meningkat 2.5 sen kepada 50 sen, KTG lebih tinggi sebanyak 1.0 sen kepada 25.5 sen sementara Nova MSC tidak berubah pada 14 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 24.64 mata kepada 11,865.10, FBMT 100 naik 22.49 mata kepada 11,514.55, FBM 70 meningkat 66.69 mata pada 15,674.59, FBM Emas Syariah mengembang 40.97 mata kepada 13,348.66 dan FBM ACE 59.98 mata lebih baik pada 8,746.03.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 5.72 mata kepada 6,836.57, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.90 mata pada 14,985.13 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.44 mata kepada 196.58.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat