Dua Sektor Jadi Tumpuan Pelabur Gara-Gara Rundingan HSR

677

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini sebelum menyusut selepas mencatatkan peningkatan kukuh sejak dua hari lepas walaupun pasaran saham AS semalaman mempamerkan prestasi memberangsangkan.

Pelabur di Wall Street memberikan tindak balas positif kepada laporan menyatakan penggubal undang-undang AS telah hampir mencapai kesepakatan mengenai bantuan koronovirus sementara Rizab Persekutuan menunjukkan kebanyakan pegawai menjangkakan kadar faedah akan kekal menghampiri sifar untuk tempoh bertahun-tahun lagi, kata para peniaga.

Lapor Bernama, pada pukul 9.08 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.24 mata kepada 1,676.17 berbanding 1,681.41 ketika ditutup sebelumnya.

Indeks utama dibuka 2.86 mata lebih tinggi pada 1,684.27.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 280 berbalas 257 manakala 415 kaunter tidak berubah, 1,191 tidak diniagakan dan 45 yang laing digantung.

Jumlah dagangan ialah 596.75 juta unit bernilai RM233.25 juta.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata berikutan peningkatan semalaman pasaran saham AS, pasaran tempatan dijangka menyusul tetapi kegiatan pengambilan untung kemungkinan akan muncul kemudian.

“Kes-kes Covid-19 yang dikesan di beberapa syarikat sarung tangan mungkin mencetuskan beberapa aktiviti jualan selepas saham pengeluar sarung tangan melambung kembali selama dua hari.

“Sementara itu, dengan perbincangan yang berterusan di pasaran mengenai kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura, kami berpendapat peniaga akan terus berurus niaga ke atas kaunter pembinaan dan hartanah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, harga minyak Brent melonjak melepasi US$51 setong di sebalik penurunan inventori minyak mentah sebanyak 3.1 juta tong minggu lepas dan ini membantu menyokong pasaran tempatan.

Untuk sektor yang menjadi fokus utama, ia menambah selain daripada sektor pembinaan, bahan bangunan serta hartanah, sektor yang dikenal pasti untuk pemulihan seperti perbankan dan pengguna juga akan meningkat meskipun dalam tempoh “window dressing”.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun lima sen kepada RM8.62, Public Bank dan Tenaga masing-masing menyusut enam sen kepada RM21.82 dan RM10.70, Top Glove jatuh empat sen kepada RM6.73, sementara Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM7 .61.

Saham-saham paling cergas pula, waran Seacera menokok lima sen kepada 5.5 sen, Mah Sing menambah 4.5 sen kepada 97.5 sen dan Tiger Synergy mengembang setengah sen kepada 17 sen.

Waran Sunzen Biotech lega setengah sen kepada 2.5 sen dan Sino Hua-An tidak berubah pada 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 28.51 mata pada 12,072.48, Indeks FBMT 100 merosot 39.90 mata kepada 11,823.60, FBM 70 lebih rendah 48.37 mata kepada 15,486.44, FBM ACE jatuh 48.38 mata kepada 10,537.88, dan Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 10.13 mata kepada 13,423.33.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.55 mata kepada 176.36, Indeks Perladangan menambah 41.71 mata kepada 7,405.48, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 95.89 mata kepada 15,854.01.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat