ECB Kekalkan Kadar Faedah, Minit Mesyuarat FOMC Kekal Dovish

614

Matawang Euro dan dolar Amerika Syarikat tidak menunjukkan sebarang pergerakan harga yang besar pada Rabu ekoran Federal Reserve dan bank pusat Eropah masing-masing memberi isyarat bahawa kadar faedah bakal dikekalkan berikutan faktor pertumbuhan global yang perlahan serta risiko terhadap ketegangan hubungan perdagangan.

Fed pada awal pagi tadi telah mengeluarkan minit mesyuarat pada 19-20 Mac lalu di mana para penggubal dasar memberikan petunjuk bahawa tiada kenaikan kadar pada tahun 2019 dan mereka akan menghentikan pengurangan pada pegangan bon menjelang September nanti.

Sebelum itu, turut menjadi tumpuan semalam terhadap USD adalah kepada data inflasi yang dikeluarkan pada jam 8.30 malam.

Kadar inflasi meningkat 0.4% melebihi jangkaan kenaikan 0.3% berbanding bacaan 0.2% pada sebelum ini. Angka tersebut juga merupakan peningkatan bulanan terbesar sejak Januari 2018 yang lalu.

Sementara kadar inflasi teras pula yang mengecualikan harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, kekal pada bacaan 0.1% seperti sebelumnya namun meleset daripada jangkaan kenaikan 0.2% oleh pasaran.

Dapat dilihat USD mengukuh sejurus data tersebut dikeluarkan, namun kembali melemah semula menjelang minit mesyuarat yang dikeluarkan pada awal pagi ini.

Penetapan kadar faedah oleh European Central Bank (ECB) adalah seperti dijangkakan tidak berubah di paras sifar. Presiden Mario Draghi memandang berat terhadap risiko pada ekonomi zon Eropah dan akan menambahkan lagi ransangan terhadap ekonomi untuk menghalang risiko menuju kea rah kegawatan. Beliau berucap pada persidangan yang berlangsung selepas mesyuarat dasar polisi tersebut.

Beliau juga turut menekankan risiko ketegangan perdagangan ke atas aktiviti perniagaan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengancam untuk mengenakan tarif berjumlah $11 bilion dolar ke atas produk barangan Kesatuan Eropah.

Pound Sterling pula dilihat mencatatkan sedikit kenaikan pada dagangan Rabu namun masih kekal bergerak mendatar ekoran pelabur yang berwaspada menantikan kelulusan dari Kesatuan Eropah terhadap penangguhan Brexit. Sementara mengurangkan risiko situasi pengunduran Brexit tanpa sebarang perjanjian, sentimen semasa buat Brexit masih lagi dilihat tidak menentu.

Perdana Menteri Britain, Theresa May memohon untuk lanjutan tarikh Brexit kepada 30 Jun, namun di Brussels, penangguhan yang lebih fleksibel sehingga penghujung tahun ini ataupun pada Mac 2020 berkemungkinan besar akan menjadi pilihan cadangan.

Dengan itu juga, ini akan membuka peluang untuk dagangan GBP kembali mengukuh dalam pasaran semasa berikutan tempoh lebih panjang buat PM May kembali mengatur strategi Brexit dengan rundingan-rundingan yang lebih meyakinkan selepas ini.

Terus ikuti perkembangan isu-isu semasa dalam pasaran kewangan untuk membantu anda menyusun strategi dagangan anda dengan lebih jelas dan sistematik.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat