Ekoran Lanjutan PKPB & PKPP, Ini Jangkaan Saham Pilihan Pelabur

980

Urus niaga di Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi urus niaga hari ini dengan indeks utama terus berada dalam zon lemah berikutan kehendak risiko yang kurang bermaya di pasaran.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.72 mata kepada 1,606.7 daripada penutupan semalam iaitu 1,608.42.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 0.29 mata lebih tinggi pada 1,608.71.

Di pasaran meluas, kaunter rugi agak tinggi berbanding kaunter untung dengan 204 berbalas 195 manakala 1,266 kaunter tidak berubah, 493 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 789.59 juta saham bernilai RM292.27 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, dalam situasi kekurangan pemangkin baharu, bursa tempatan mungkin mengalami penyusutan selanjutnya tetapi kelemahan itu dapat ditampung oleh pemulihan teknikal.

Tambah firma berkenaan, jumlah kes Covid-19 yang tidak stabil setiap hari yang mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan di beberapa negeri juga boleh boleh memberi kesan kepada kelancaran pemulihan ekonomi.

“Kami percaya sektor terpilih yang berkaitan dengan tema pemulihan seperti pembinaan, hartanah dan pengguna masih bergerak naik walaupun terdapat jumlah kes Covid-19 yang tidak stabil setiap hari.

“Selain itu, saham berkaitan dengan pembungkusan mungkin menjadi pilihan ekoran lanjutan PKPB dan PKPP,” tambah firma penyelidikan itu menerusi catatannya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing susut satu sen kepada RM4.20 dan RM5.37, Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM7.86 dan Tenaga lebih rendah empat sen kepada RM10.20.

Top Glove menambah satu sen kepada RM5.26 sementara Maybank tidak berubah pada RM8.32.

Bagi kaunter aktif pula, Luster Industries turun 24 sen kepada setengah sen, CNI naik 20.5 sen kepada satu sen, Seacera tidak berubah pada 23.5 sen sementara Permaju susut 18 sen kepada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.37 mata kepada 11,876.97, FBM Emas Syariah jatuh 14.35 mata kepada 13,246.91, FBMT 100 menguncup 9.61 mata kepada 11,527.48, FBM 70 merosot 2.68 mata kepada 15,840.35 manakala FBM ACE lebih rendah 25.24 mata kepada 9,728.75.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri merosot 0.84 mata kepada 194.74, Indeks Perladangan turun 0.11 mata kepada 6,959.91 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih rendah 5.01 mata kepada 15,197.63.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat