Elon Musk: Mangsa Buli Kini Bertukar Jadi Jutawan Dengan Pendapatan Mencecah $20.6 Bilion

0 661

Elon Musk merupakan anak sulung daripada pasangan yang berasal dari Afrika Selatan dan Kanada. Ketika beliau berusia 9 tahun, kedua-dua ibu bapanya telah berpisah. Meskipun tidak bernasib baik seperti kanak-kanak seusianya, Elon sangat gemar membaca buku.

Uniknya, beliau banyak belajar tentang programming dan berjaya mencipta sebuah permainan lalu menjualnya kepada sebuah syarikat dengan harga $500 sedangkan ketika itu beliau masih baru berusia 12 tahun.

Elon tidak menjalani zaman persekolahan yang dipenuhi dengan memori manis kerana beliau sering dibuli oleh rakan-rakan sekolahnya hingga terpaksa dimasukkan ke hospital. Zaman kanak-kanaknya tidak dapat dinikmati sepenuhnya dan terpalit dengan memori hitam kerana sifat dengki rakan-rakan sekolahnya.

Mereka tidak menyukai Elon kerana beliau merupakan seorang pelajar yang istimewa dan pintar.

Di Afrika Selatan, remaja yang berusia 18 tahun diwajibkan untuk berkhidmat sebagai tentera. Namun begitu, Elon enggan berbuat demikian dan mahu mengejar impiannya. Setelah menamatkan pengajiannya di sekolah menengah, beliau telah berpindah ke Kanada dan tinggal bersama saudara ibunya.

Ketika berada di Kanada, beliau terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bergaji rendah untuk menampung kehidupannya yang miskin. Seterusnya, Elon telah ditawarkan dengan biasiswa daripada University of Pennsylvania lalu berpindah ke Amerika Syarikat.

Beliau telah melanjutkan pembelajaran dalam dua ijazah berbeza iaitu Fizik dan Ekonomi. Dahsyat sungguh!

Kemudian, Elon memperoleh tawaran untuk menyambung pengajiannya sebagai Doktor Falsafah dalam bidang Applied Physics di Standford University. Namun, beliau memilih untuk berhenti selepas 2 hari berada di universiti berkenaan dan memutuskan untuk membuka sebuah syarikat baru bersama adik lelakinya.

Mereka berdua telah meminjam wang sebanyak $28,000 daripada bapa mereka dan menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Zip2. Untuk menjimatkan sewa dan perbelanjaan lain, Elon akan tidur di pejabatnya dan mandi di gimnasium berhampiran.

4 tahun kemudian, syarikat tersebut telah dijual kepada Compaq dengan tunai sebanyak $307 juta dan saham bernilai $34 juta. Benarlah kata pepatah yang berbunyi ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang kemudian.’

Melalui jualan tersebut, beliau berjaya mendapatkan $22 juta dengan kepentingan sebanyak 7%.

Dengan usaha yang gigih, Elon menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai X.com dan telah bergabung dengan pesaingnya lalu menggunakan nama Paypal. Malangnya, beliau telah dipecat daripada jawatannya sebagai CEO di syarikat berkenaan.

Kata pepatah ada menyebutkan ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. EBay telah membeli syarikat berkenaan dengan $1.5 bilion. Di sinilah kehidupannya berubah menjadi kaya-raya kerana telah berjaya memperoleh keuntungan sebanyak $165 juta.

Wang tersebut telah digunakan untuk membantu dan melabur di sebuah syarikat yang hampir muflis, iaitu Tesla yang kini menjadi sebuah syarikat pembekal kereta eletrik terkemuka dunia.

Berkat jatuh bangun yang dihadapi olehnya, nama Elon Musk tidak asing lagi dalam dunia pelaburan dan perniagaan global. Kini, Elon Musk merupakan pengasas SpaceX, The Boring Company, CEO Tesla Motors, CEO Neuralink, Pengerusi SolarCity dan Pengerusi bersama OpenAI. Pendapatan yang dicatatkan olehnya mencecah $20.6 bilion.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.