Elon Musk Nak Tanam Cip Dalam Otak Manusia

636

Suatu hari nanti, mungkin kita akan memiliki kebolehan ‘superhuman’ contohnya boleh memainkan lagu dalam otak atau memuat naik data dalam otak kita kepada komputer.

Bunyi macam tidak masuk akal bukan?

Namun perkara itu sebenarnya sedang cuba direalisasikan oleh pengasas SpaceX, Elon Musk dan pasukannya dalam syarikat yang dikenali sebagai Neuralink.

Neuralink juga ditubuhkan oleh Musk pada 2016 dan merupakan sebuah syarikat yang menumpukan kepada neuroteknologi.

Syarikat terbabit dilaporkan sedang mencipta sebuah cip untuk ditanamkan ke dalam otak untuk memperluaskan kemampuan manusia.

Musk percaya cip itu dapat menyelesaikan masalah berkaitan otak, contohnya individu yang lumpuh akan kembali bergerak; golongan cacat penglihatan boleh mendengar dan golongan bisu boleh bercakap.

Menurut Musk, cip terbabit bukan sahaja memulihkan pendengaran tetapi berkeupayaan memperluaskan lingkungan pendengaran melebihi frekuensi dan amplitud normal.

Pembangunan cip itu sejajar dengan misi Neuralink yang mahu membantu manusia yang mempunyai masalah saraf serta mobiliti.

Selain itu, Musk juga pernah berkata beliau sangat bimbang dengan ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) pada masa akan datang yang bakal memusnahkan manusia.

Ketika ini, AI banyak menggantikan pekerjaan manusia. Contohnya, kita kini boleh sahaja memesan makanan di restoran McDonald’s atau membeli tiket wayang dengan menggunakan mesin.

AI juga membantu kita dalam urusan perjalanan seharian ke mana-mana sahaja kerana teknologi GPS lebih praktikal pasa masa kini.

Kewujudan cip Neuralink yang bertujuan untuk meningkatkan kecerdasan dan kebolehan manusia mungkin akan membantu manusia untuk bersaing dengan AI namun dikatakan masih jauh lagi perjalanan untuk mencapai misi tersebut.

Jika syarikat terbabit mencapai separuh daripada apa yang dijanjikan, kita akan dapat menyaksikan kemunculan teknologi yang paling penting dalam sejarah manusia.

Tetapi mesti anda tertanya-tanya, bagaimana cip Neuralink ini boleh berfungsi? Tidak berbahayakah kepada otak kita?

Secara ringkasnya, Neuralink adalah teknologi untuk membantu manusia berhubung dengan mesin menggunakan otak.

Syarikat itu menyasarkan cip itu boleh dipasang di mana-mana hospital.

Neuralink akan menanam cip dalam otak tanpa rasa sakit, cepat dan mudah seperti anda melakukan pembedahan lasik.

Reka bentuk cip ini telah berubah-ubah dan sekarang cip berkenaan bersaiz sebesar duit syiling berdiameter 8 milimeter dan ketebalan sehelai rambut.

Untuk memasang cip itu, tengkorak kecil pada otak manusia akan dikeluarkan sebelum cip itu dipasang.

Disebabkan proses itu perlu teliti, pasukan Neuralink mencipta robot untuk prosedur tersebut bagi memastikan proses pemasangan cip tidak memakan masa lebih 1 jam.

Namun, pemasangan cip itu akan meninggalkan bekas luka kecil.

Selepas cip berkenaan dipasang, peranti tersebut boleh menghantar dan menerima isyarikat elektrik melalui otak serta menggunakannya untuk mengawal mesin.

Pada peringkat awal, kita mampu mengawal peranti asas seperti komputer dan peranti pintar yang lain.

Otak akan menghantar informasi kepada tubuh badan yang berbeza melalui neuron. Neuron dalam otak akan berhubung antara satu sama lain untuk membentuk rangkaian dan komunikasi menggunakan isyarat kimia yang dinamakan sebagai ‘neurotransmitter’.

Musk mendakwa peranti itu dapat digunakan untuk mengoperasikan robot, merawat penyakit mental, untuk mengalirkan muzik terus ke otak dan memperluaskan lingkungan pendengaran melebihi frekuensi normal.

Pada Ogos tahun lalu, Neuralink melakukan demonstrasi memasang cip pada seekor babi dan haiwan itu dapat hidup dengan normal selepas ditanam dan dikeluarkan.

Baru-baru ini, pada 9 April lalu, Neuralink memuat naik sebuah video berdurasi selama tiga minit menunjukkan seekor monyet dengan cip yang tertanam dalam otaknya, bermain permainan video.

Pada awalnya, monyet tersebut dilatih menggunakan alat kawalan dan kemudiannya menggunakan otak untuk bermain permainan video berkenaan.

Musk sebelum ini pernah ‘tweet’, produk pertama Neuralink akan membolehkan seseorang yang lumpuh untuk menggunakan telefon pintar hanya melalui otak mereka dan lebih cepat berbanding ibu jari manusia.

Versi cip yang seterusnya pula akan mampu membuatkan individu yang lumpuh untuk berjalan semula dan walaupun peranti itu dipasang pada otak, manusia akan masih berasa normal.

Musk mempunyai visi yang hebat dan semua syarikat yang ditubuhkan oleh beliau berkaitan dengan teknologi masa hadapan seperti kereta elektrik Tesla dan roket SpaceX.

Apa pendapat anda mengenai teknologi tersebut? Adakah anda merasakan itu adalah sebuah teknologi yang akan mengubah kehidupan manusia atau sekadar impian semata-mata?

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat