Logam berharga emas memanfaatkan peluang daripada bacaan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang meleset dari jangkaan, dengan menokok lebih tinggi pada sesi Asia.
Spot emas diniagakan meningkat pada sekitar harga $1,786 per auns, bangkit dari paras terendah satu bulan yang dicapainya minggu lalu pada $1,762 per auns.
Sementara niaga hadapan emas pula diperdagangkan sedikit meningkat pada $1,787 per auns.
Ekonomi AS hanya menambah sebanyak 210,000 pekerjaan pada bulan lepas, turun dari 546,000 yang dicatatkan pada Oktober. Angka ini adalah jauh tersasar daripada jangkaaan pasaran untuk kenaikan 550,000.
Walaupun US dolar tidak memberi perubahan ketara daripada angka yang meleset ini, tetapi hasil bon AS jatuh di bawah 1.40%, menunjukkan pelabur bimbang tentang ekonomi gergasi itu akan melemah.
Penurunan ini memberi peluang untuk emas meningkat, selain turut disokong oleh ketidakpastian mengenai varian coronavirus Omicron berikutan lebih banyak negara telah melaksanakan pengetatan kawalan pergerakan.
Bagaimanapun, jangkaan Federal Reserve (Fed) untuk menaikkan kadar faedah lebih awal sedikit membantutkan pergerakan logam kuning itu.