US Dolar pada Isnin mencapai paras tertinggi lapan bulan lalu berbanding Yen selepas komen yang dibuat oleh Gabenor Kuroda (Bank of Japan, BOJ) pagi tadi.
Dengan perbezaan polisi (divergence) antara The Fed dan BOJ, USD/JPY dilihat membuat kenaikan pagi tadi semasa ucapan Kuroda.
US Dolar sehingga minggu lalu telah merekodkan kenaikan dalam 7 daripada 8 minggu sebelum ini yang menunjukkan satu pengukuhan yang meyakinkan oleh greenback selepas tertekan sejak awal tahun 2017. Minggu ini tumpuan pasaran adalah kepada peristiwa (event) dan data berikut:
1. Ucapan ahli FOMC Dudley (Selasa, 1.10 pagi)
Presiden Fed cawangan New York ini merupakan seorang pengundi tetap dalam penetapan polisi The Fed. Ucapan beliau pada Selasa akan menjadi peluang untuk Dudley merespon terhadap pelantikan Powell sebagai pengerusi Fed tahun depan. Sebagai antara ahli Fed yang berpengaruh, pasaran akan mendapatkan isyarat lebih jelas tentang polisi akan datang melalui Dudley.
2. Penetapan polisi monetari RBA (Selasa, 11.30 pagi)
RBA (Reserve Bank of Australia) baru-baru ini memberikan komen ‘dovish’ dan mengatakan penurunan kadar faedah masih lagi terbuka. Data inflasi dalam laporan sebelum ini juga menunjukkan bacaan kurang daripada jangkaan yang terus menekan matawang Aussie Dolar. Adakah RBA akan memberikan komen yang dovish lagi kali ini? dan menyebabkan AUD terus tertekan? Sama-sama kita nantikan pada esok hari.
3. Ucapan Janet Yellen (Rabu, 3.30 pagi)
Ramai yang telah maklum bahawa Yellen akan digantikan oleh Jerome Powell. Pasaran bakal melihat rekasi Yellen terhadap pemilihan Powell pada Rabu. Apa yang lebih penting adalah pendirian terkini Yellen untuk kenaikan kadar faedah Fed pada Disember.
4. Data perdagangan China (Rabu)
China akan mengeluarkan data perdagangan pada Rabu dengan jangkaan pasaran ia meningkat kepada $39.5 billion. Eksport dijangka naik 8.8% dari tahun ke tahun (y/y), manakala import naik 13.5%. Data ini penting untuk melihat halatuju pergerakan matawang Aussie dolar kerana China adalah destinasi eksport terbesar komoditi dari Australia.
5. Penetapan polisi monetari RBNZ (Khamis, 4.00 pagi)
Selepas seminggu laporan data pekerjaan yang dikeluarkan minggu lalu, Kiwi (NZD) setakat ini masih lagi lemah. RBNZ akan mengumumkan polisi terkini monetari pada Khamis yang mana dijangka kadar faedah akan dikekalkan 1.75%. Setakat ini dengan kejatuhan Kiwi, pembuat polisi RBNZ sudah tentu positif dengan perkara ini. Kita juga bakal melihat respon RBNZ tentang mandat yang mahu diubah oleh kerajaan baru New Zealand.
6. Data pengeluaran pembuatan UK (Jumaat, 5.30 petang)
Pejabat Statistik Kebangsaan UK akan mengeluarkan data ini pada Jumaat dengan pasaran menjangka ia naik 0.3%. Bank of England telah menaikkan kadar faedah minggu lalu yang pertama sejak lebih dari 10 tahun. Politik akan terus menjadi kebimbangan pelabur terhadap pasaran UK dengan rundingan masih belum menunjukkan isyarat yang lebih jelas tentang masa depan UK dalam pasaran tunggal.