Facebook Disaman Gara-gara Dedahkan Data Pengguna!

309

Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat, Facebook telah dikenakan tindakan undang-undang di Australia. Hal ini demikian kerana syarikat berkenaan didakwa telah mendedahkan data peribadi lebih 300,000 pengguna yang berisiko digunakan untuk profil politik.

Menurut sebuah kenyataan, Pesuruhjaya Maklumat Australia mendakwa bahawa Facebook telah berulang kali melanggar undang-undang privasi yang ditetapkan dengan mendedahkan maklumat pengguna kepada aplikasi ‘This Is Your Digital Life’.

Sementara itu, data peribadi 311,127 pengguna Facebook Australia itu dikatakan berisiko untuk didedahkan kepada firma Cambridge Analytica serta digunakan bagi tujuan profiling.

Untuk pengetahuan semua, Facebook telah terpalit dengan kontroversi berkaitan isu privasi ini sejak penubuhannya dan mendapat perhatian khusus dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Amerika Syarikat dan Eropah. Pada bulan Julai yang lalu, mereka telah bersetuju untuk membayar saman sebanyak $5 bilion kepada Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat bagi menamatkan penyiasatan terhadap isu privasinya yang berpunca daripada skandal Cambridge Analytica pada awal tahun 2018.

Berikutan dengan kejadian ini, Pesuruhjaya Maklumat Australia menegaskan agar semua entiti yang beroperasi mestilah telus dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat peribadi pengguna. Tambahan daripada itu, reka bentuk platform Facebook dikatakan sukar untuk dikawal sehinggakan pengguna tidak tahu bahawa maklumat mereka telah didedahkan.

Kini, Facebook dipercayai memberikan kerjasama yang baik kepada pesuruhjaya berkenaan sejak siasatan dijalankan 2 tahun yang lalu.

Sehubungan dengan itu, syarikat berkenaan menyatakan bahawa mereka akan melaksanakan perubahan besar terhadap platform mereka serta menjalinkan usaha sama dengan pengawal selia antarabangsa bagi menyekat maklumat sedia ada yang telah didedahkan kepada aplikasi tertentu, melaksanakan protokol pengurusan yang baru serta membina kawalan ketat bagi membantu para pengguna melindungi dan menguruskan data peribadi mereka.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat