Fasiliti Minyak Arab Saudi Diserang Kumpulan Pemberontak Yaman!

676

Harga minyak mentah mencatatkan kenaikan pada permulaan dagangan minggu ini berikutan terkesan oleh serangan kumpulan pemberontak Yaman ke atas fasiliti minyak Arab Saudi pada hujung minggu lalu.

Dilaporkan bahawa serangan dron dilakukan oleh kumpulan militan Houthi Yaman di kawasan lapangan minyak di timur Arab Saudi pada Sabtu menyebabkan kebakaran pada loji gas. Insiden tersebut turut meningkatkan lagi risiko ketegangan di Timur Tengah namun syarikat Saudi Aramco menyatakan bahawa operasi pengeluaran minyak sama sekali tidak terjejas.

Selain itu juga, pasaran menantikan perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China pada minggu ini pula. Sentimen rundingan yang dilihat semakin reda juga menjadi salah satu faktor yang mendorong kenaikan harga minyak berikutan kedua-dua ekonomi gergasi tersebut merupakan pengguna terbesar minyak dunia.

Penasihat Ekonomi White House, Larry Kudlow mengatakan pegawai rundingan Amerika Syarikat dan China akan berbincang dalam tempoh 10 hari dan akan berunding untuk mengakhiri perang dagang yang berlarutan.

Kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi walau bagaimanapun memberi bebanan terhadap harga minyak mentah.

Sementara itu, Organisasi Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak global pada 2019 dengan 40,000 tong sehari kepada 1.10 juta tong sehari dan menunjukkan pasaran akan menghasilkan lebihan pada tahun 2020.

Turut menjadi kebimbangan, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat pada minggu ini meningkatkan bilangan pelantar minyak untuk beroperasi buat pertama kali dalam tujuh minggu, walaupun kebanyakan pengeluar merancang untuk pengurangan perbelanjaan ke atas operasi penggerudian baru minyak mentah tahun ini.

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat