Fenomena FGV Landa Bursa Malaysia

673

FGV Holdings Bhd mendahului senarai kaunter paling aktif Bursa Malaysia selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memutuskan untuk mengambilalih entiti berkenaan melalui tawaran pengambilalihan mandatori pada harga RM1.30 sesaham.

Pada pukul 10.30 pagi, saham FGV didagangkan pada RM1.28, naik sebanyak 10 sen dengan 91.86 juta saham bertukar tangan.

Felda menerusi maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, firma itu telah menyelesaikan cadangan pemerolehan saham yang diumumkan pada 8 Disember lalu.

Pegangan sahamnya dalam FGV telah meningkat kepada 50.49% daripada 36.61% sebelum ini. Oleh itu, tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat yang didedahkan pada 8 Disember lalu, kini menjadi tawaran tanpa syarat.

Bernama melaporkan, pada 8 Disember lalu, Felda memeterai dua perjanjian pembelian saham bersyarat (CSPA) dengan vendor Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) serta Urusharta Jamaah Sdn Bhd bagi membeli sejumlah kepentingan ekuiti sebanyak 13.88% mewakili 506.19 juta saham untuk pertimbangan tunai berjumlah RM658.04 juta atau RM1.30 sesaham FGV.

Tambah Felda, syarikat itu tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Malaysia, yang disenaraikan pada 2012 dengan saham terbitan awam (IPO) sebanyak RM4.55.

“Berita mengenai pengambilalihan mandatori FGV pada harga RM1.30 sesaham mungkin akan mencetuskan sedikit aktiviti perdagangan,” kata penganalisis Rakuten Trade Sdn Bhd dalam notanya hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat