Fenomena Tulip Mania: Adakah Sama Dengan Bitcoin?

293

Tahukah anda pada masa dahulu, sekuntum bunga tulip mampu membeli rumah, tanah dan juga ladang? Nampak pelik bukan, tapi itu realitinya yang pernah berlaku di Belanda dahulu.

Fenomena Tulip Mania bermula sekitar tahun 1624 hingga 1637 ketika era Zaman Keemasan Belanda serta direkodkan sebagai financial bubble pertama di dunia.

Menyoroti sejarah zaman itu, bunga tulip diimport dari Turki dan menjadi kegilaan rakyat Belanda kerana mereka menyifatkan bunga berkenaan adalah eksotik selain mengambil masa selama hingga 7 tahun untuk sekuntum bunga terbabit berkembang mekar.

Ketika itu, sejenis wabak melanda tanaman bunga tulip dan sekali gus menyebabkan warna bunga tersebut menjadi unik. Ekoran faktor itu, harga bunga tulip terus melonjak berikutan permintaan yang tinggi dan penawarannya adalah terhad.

Selain itu, bunga tulip juga melambangkan kekayaan dan darjat yang tinggi kepada sang pemiliknya.

Disebabkan bunga tulip ini mengambil masa yang agak lama untuk tumbuh dan memerlukan perhatian yang rapi, rakyat Belanda ketika itu sanggup membeli bunga berkenaan sebelum bunga tersebut tumbuh.

Mesti anda tertanya-tanya bagaimana proses pembelian bunga tulip ketika itu. Para pembeli akan membeli dengan perjanjian kontrak masa depan untuk bunga tulip yang bakal tumbuh sebagai bukti pembelian.

Apabila bunga itu mekar, barulah pembeli akan mendapat bunga berkenaan. Sejak dari itu, makin mudah mereka melakukan transaksi jual beli bunga tulip hanya dengan sekeping kertas (kontrak masa depan) sahaja.

Bayangkan, sekuntum bunga tulip boleh bertukar tangan sehingga 10 kali dalam tempoh sehari. Harga sekuntum bunga tulip boleh mencecah sehingga 5,000 guilders iaitu nilai sebuah rumah ketika itu.

Walau bagaimanapun, tiada yang kekal di dunia ini. Harga bunga tulip jatuh ketika acara lelongan di Haarlem kerana tiada orang yang sanggup membeli dengan harga yang tinggi.

Pada acara lelongan, pembeli hanya berani membida dengan harga yang rendah dan keadaan ini membuatkan penjual merasa panik, mengakibatkan mereka yang mempunyai tanaman bunga tulip terpaksa melakukan penjualan segera.

Disebabkan situasi berkenaan, pemilik bunga tulip terpaksa menurunkan harga untuk bersaing sesama sendiri. Pada 1637, fenomena Tulip Mania tamat dan dalam tempoh masa beberapa minggu sahaja, harga bunga tulip kurang daripada 1% dari nilai harga ketika bunga tersebut dijual dengan harga yang mahal.

Wujud juga teori yang mengatakan jenis bunga tulip yang unik seperti Semper Augustus tumbuh dengan berlipat kali ganda banyaknya dalam tempoh beberapa tahun sebelum itu, menyebabkan harga bunga tulip menurun.

Fenomena Tulip Mania boleh dikaitkan dengan trend kenaikan harga bitcoin pada waktu ini. Pada tahun 2017, harga bitcoin menghampiri AS$20,000 dan kemudiannya jatuh namun berjaya mencecah paras AS$19,000 pada bulan lalu.

Ada pihak yang beranggapan trend ini sama seperti financial bubble yang meletup sewaktu fenomena Tulip Mania pada 400 tahun lalu. Namun sekiranya bubble bitcoin ini tidak meletup, mata wang kripto itu bakal menggantikan wang kertas dan merevolusikan sistem kewangan dunia.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat