Firma Teknologi Kekal Teguh Walau Dilanda Badai Covid-19

281

Firma-firma teknologi gergasi dunia dilaporkan merekodkan penjualan dan keuntungan yang tinggi dalam tempoh tiga bulan dari Jun hingga September.

Lapor BBC, Amazon mencatatkan penjualan sebanyak AS$96.1 bilion iaitu 37% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Syarikat itu juga menyaksikan nilai keuntungannya mencecah AS$6.3 bilion iaitu tiga kali ganda lebih banyak berbanding jumlah keuntungan pada tahun lalu.

Peningkatan itu berlaku dipacu oleh perniagaan e-dagangnya di Amerika Utara selepas semua orang semakin beralih kepada trend membeli-belah secara dalam talian. Namun perniagaan pengiklanan dan cloud computing firma berkenaan turut menunjukkan sedikit lonjakan.

Walaupun merekodkan keuntungan yang tinggi, Amazon memaklumkan mereka terpaksa menelan kerugian sebanyak AS$2.5 bilion dalam tempoh pandemik Covid-19 selain reputasinya juga tercalar berikutan protes oleh para pekerja berhubung suasana tempat bekerja dan polisi-polisinya yang lain.

Facebook pula melaporkan seramai 2.5 bilion pengguna harian secara puratanya telah menggunakan platform terbabit pada bulan lalu iaitu 15% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, syarikat itu memberi amaran jumlah pengguna Facebook dilihat berkurangan di AS dan Kanada. Kedua-dua negara tersebut merupakan pasaran yang terbesar bagi Facebook dan syarikat terbabit telah memaklumkan kepada para pelaburnya bahawa trend itu akan berterusan.

Twitter turut melaporkan seramai 187 juta pengguna aktif menggunakan platform itu dalam tempoh Jun-September, meningkat sebanyak 1 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Meskipun Google terpaksa mengurangkan perbelanjaan terhadap pengiklanan tahun ini, keuntungan tahun ke tahunnya meningkat sebanyak 14% dan jauh lebih baik daripada jangkaan para penganalisis ekonomi.

Kenaikan itu membantu keuntungan tahun ke tahun Google melonjak sebanyak 59% kepada lebih AS$11 bilion serta menjadikan saham syarikat berkenaan meningkat lebih 6% ketika after-hours trading (AHT).

Jualan Apple Inc dilaporkan mencecah AS%64.7 bilion, sedikit naik berbanding tahun lalu berikutan peningkatan penjualan komputer riba dan iPad.

Namun saham syarikat itu menyusut dalam sesi AHT selepas pendapatan penjualan iPhone menurun lebih daripada 20% terutamanya di rantau Greater China.

Apple menyatakan keyakinan bahawa pembeli sedang menunggu keluaran telefon pintar baharunya iaitu iPhone 12 yang bakal dijual bermula bulan hadapan.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat