FOMC & NFP! 5 News & Event Besar Tumpuan Pasaran Minggu Ini (29 Jan-02 Feb)

883

Banyak event (peristiwa) dan data-data ekonomi penting yang akan dikeluarkan minggu ini. Ia termasuklah penetapan polisi monetari The Fed dan juga data NFP yang akan dikeluarkan pada Jumaat. Penetapan polisi The Fed kali ini juga adalah yang terakhir bagi Janet Yellen sebagai pengerusi sebelum digantikan oleh Jerome Powell.

Di Eropah pula, pelabur akan tertumpu kepada data inflasi bulanan untuk mereka mendapatkan isyarat seberapa pantas ECB akan menghentikan program pembelian bon mereka.

Matawang Euro pada minggu lalu meneruskan kenaikan dengan EUR/USD berjaya mencapai paras harga 1.2500. Keyakinan terhadap ekonomi Zon-Eropah semakin meningkat dengan data PMI terus meningkat menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang terus mampan pada permulaan 2018.

Jumlah pekerjaan meningkat ke paras tertinggi sejak tahun 2000. Markit yang mengeluarkan data PMI melaporkan Flash Euro Zone Composite Output Index yang menggabungkan indeks pembuatan dan perkhidmatan naik kepada 58.1 pada Disember ke paras tertinggi 12-tahun lalu dan melebihi jangkaan 57.9.

Sentimen ekonomi dan perniagaan di Jerman juga merekodkan bacaan yang memberangsangkan. Sentimen ekonomi ZEW (German ZEW economic sentiment) yang menunjukkan tahap kesihatan ekonomi merekod bacaan 20.4 lebih daripada jangkaan 17.8 dan bacaan sebelum ini 17.4. German ifo Business Climate pula mencatat bacaan 117.6 melebihi jangkaan 117.1 dan bacaan sebelum ini 117.2.

Dari segi penetapan polisi ECB minggu lalu, bank pusat seperti yang dijangka mengekalkan polisi monetarinya seperti yang telah diumumkan pada Khamis termasuk jangkaan terhadap program pembelian bon (APP). Mario Draghi secara keseluruhan dalam sidang media meletakkan semua tindakan ECB masih terbuka termasuk program pembelian bon sama ada tambahan amaun atau pelanjutan tempoh program selepas September 2018. Draghi juga menunjukkan sebarang kenaikan kadar faedah pada tahun ini seakan tidak berlaku.

Berikut adalah berita dan event (peristiwa) yang menjadi fokus pasaran minggu ini:

#1 Penetapan polisi FOMC The Fed (Khamis)

The Fed akan mengumumkan polisi pada pukul 3 pagi Khamis di mana pasaran tidak menjangka bank pusat itu akan mengubah kadar faedahnya. Oleh itu, pelabur akan lebih terarah kepada kenyataan polisi yang dikeluarkan bagi melihat bukti-bukti sama ada terdapat perubahan komunikasi khususnya terhadap potensi kenaikan kadar faedah tahun ini. Mesyuarat ini juga akan menjadi yang terakhir buat Janet Yellen sebelum beliau digantikan oleh Jerome Powell.

#2 Data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (Jumaat)

Data ini akan dikeluarkan pada Jumaat pukul 9.30 malam. Jangkaan untuk tambahan pekerjaan adalah 184,000 selepas hanya bertambah 148,000 sebelum ini. Kadar pengangguran dijangka kekal 4.1% dan tumpuan utama kadar gaji (Average hourly earnings) juga diramalkan naik 0.3% seperti sebelum ini.

Minggu ini juga ada beberapa data inflasi dan pekerjaan yang lain akan dikeluarkan termasuk ADP-NFP pada Rabu.

#3 Data inflasi Zon- Eropah (Rabu)

Data ini akan dikeluarkan pada Rabu pukul 6 petang. Ada dua versi bacaan inflasi yang akan dikeluarkan iaitu bacaan awal (flash) dan bacaan akhir (final). Inflasi kali ini dijangka menurun daripada 1.4% kepada 1.3% yang terus jatuh dari sasaran 2% ECB yang dilihat akan mengurangkan sedikit tekanan kenaikan matawang Euro.

#4 Data PMI UK (Khamis & Jumaat)

Ada dua data PMI penting yang akan dikeluarkan iaitu PMI sektor pembuatan (Khamis, 5.30 petang) dan PMI sektor perkhidmatan (Jumaat, 5.30 petang). Seperti biasa jika data sebenar yang dikeluarkan melebihi jangkaan, ia akan menaikkan matawang GBP dan begitu juga sebaliknya. Daripada kedua-dua data ini, sila beri lebih perhatian kepada data PMI sektor perkhidmatan kerana ia mewakili sejumlah besar ekonomi UK.

#5 Data pembuatan China (Rabu & Khamis)

China akan mengeluarkan dua data sektor pembuatan yang penting kepada ekonomi global, khususnya kepada Australia. Indeks sektor pembuatan (Manufacturing PMI) nagi industri berat akan dikeluarkan pada Rabu pukul 9 pagi termasuk juga data (non-Manufacturing PMI). Satu lagi data bagi sektor pembuatan yang lebih kecil dan ringan akan dikeluarkan pada Khamis pukul 9.45 pagi.

Kedua-dua data ini penting untuk melihat kesihatan ekonomi global secara keseluruhan. Bagi matawang utama dunia, Aussie adalah matawang yang akan mendapat kesan paling banyak kerana kebergantungan eksport Australia ke China.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat