FOMC Pagi Ini, Nak Buy atau Nak Sell? Baca Preview Ini

1,202

Apa yang terjadi pada mesyuarat FOMC bulan Mac dan Mei?

Mesyuarat Federal Reserve (FED) untuk bulan Jun merupakan mesyuarat yang paling penting pada bulan ini. Umumnya, keputusan kadar faedah sentiasa menjadi fokus utama namun kemaskini unjuran ekonomi dan ramalan ‘dot plot‘ lebih menjadi keutamaan tumpuan pelabur pada jam 2:00 pagi sebentar nanti.

Bukan itu sahaja, setengah jam kemudian (2:30 pagi), Pengerusi FED iaitu Jerome Powell akan mengadakan sidang akhbar di mana para wartawan pastinya akan memberi tekanan kepada beliau untuk mendapatkan butiran mengenai komen beliau baru-baru ini. Terdahulu, Powell berkata ekonomi Amerika Syarikat (A.S.) sedang berkembang tetapi atas faktor ketidaktentuan perdagangan, FED akan bertindak mengikut keadaan semasa.

Walaupun beliau tidak mengeluarkan sebarang perkataan “pemotongan kadar faedah’, pelabur menganggap komen itu adalah petunjuk kepada bias pelonggaran dasar monetari.

Berbalik pada bulan Mac 2019, ramalan ‘dot plot‘ jatuh daripada jangkaan untuk kenaikan kadar faedah sebanyak 2 kali pada tahun ini kepada sifar. Seramai 11 orang ahli FOMC mengundi untuk mengekalkan kadar faedah pada paras 2.25%-2.50%, 4 mengundi untuk menaikkan kadar faedah kepada 2.50-2.75% dan 2 orang mengundi untuk menaikkan kadar faedah kepada 2.75-3.00% pada 2019. (Rujuk gambar 1)

Pada bulan Mei pula, tiada sebarang perubahan berlaku pada dasar monetari namun Jerome Powell berkata polisi bank pusat semasa sesuai dengan keadaan ekonomi dan FED tidak melihat sebarang sebab yang kukuh untuk mengubah dasar sama ada menaik atau menurun.

 

Apa petunjuk yang diperolehi daripada data ekonomi tumpuan Federal Reserve?

Dengan berpandukan indikator data ekonomi tumpuan bank pusat FED iaitu kadar inflasi, pasaran buruh dan pertumbuhan KDNK, keseluruhannya dilihat agak bercampur-campur.

1) Kadar pengangguran A.S. bulan Mei 2019 kekal di paras terendah dalam tempoh 49 tahun pada 3.9%.

2) Indeks inflasi A.S. jatuh kepada 1.8% pada Mei 2019 daripada 2.0% dan di bawah jangkaan pasaran 1.9%.

3) Pertumbuhan KDNK A.S. sedikit di bawah bacaan sebelumnya iaitu 3.1% berbanding 3.2%.

 

Apa pula ramalan pasaran untuk perjumpaan bank pusat FED kali ini?

Pada kali ini, pasaran mengjangkakan bank pusat akan mengekalkan kadar faedah semasa pada paras 2.25-2.50%. Hal ini dapat dilihat dalam ‘Fed Fund Futures‘ yang merupakan salah satu petunjuk untuk kebarangkalian dalam pergerakan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Sebanyak 75.8% kebarangkalian untuk FED mengekalkan kadar faedah pada kadar semasa untuk mesyuarat hari ini (Rujuk gambar 2).

Namun yang menggusarkan pelabur adalah panduan untuk mesyuarat pada Julai ini di mana 64.7% mengunjurkan penurunan kadar faedah kepada 2.00-2.25%. (Rujuk gambar 3)

 

Posisi yang sesuai untuk matawang AS Dolar selepas mesyuarat kali ini

Berbalik ‘dot plot‘ pada mesyuarat Mac lalu, terdapat 6 orang ahli FOMC yang memilih untuk menaikkan kadar faedah.

Jika mereka bertukar angin untuk memilih sama ada untuk kekal atau menurunkan kadar faedah, pasaran akan melihat kelemahan matawang USD yang amat ketara. Bukan itu sahaja, ucapan Jerome Powell yang bernada dovish juga dapat memberi impak negatif kepada AS Dolar.

Manakala, andai kata tiada sebarang perubahan pada ‘dot plot‘, intonasi yang baik dari Powell dan unjuran ekonomi yang tidak berubah, AS Dolar bakal mengukuhkan kembali kedudukannya.

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat