Fuhh! Bukan Kaleng-Kaleng Axiata

404

Axiata Group Bhd mencatatkan keuntungan hampir dua kali ganda atau 96.9% kepada RM352.99 juta bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2020 (3QFY20) berbanding RM179.27 juta pada suku sebelum ini.

Keuntungan tersebut didorong oleh pendapatan yang tinggi sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kerugian pertukaran asing dan cukai yang rendah.

Pendapatan Axiata pada suku berkenaan bagaimanapun menurun sekitar 1.6% kepada RM6.11 bilion daripada RM6.21 bilion pada suku yang sama tahun lalu berikutan penyusutan yang berlaku terhadap semua syarikat operasi (OpCos) kecuali operasinya di Bangladesh, Sri Lanka serta segmen infrastruktur.

Syarikat telko tersebut bagaimanapun tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi 3QFY20.

Axiata Group menyatakan peningkatan pendapatannya turut disumbang oleh pelonggaran kawalan pergerakan dan kedudukan aliran tunai yang kukuh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata suku keempat tahun ini dilihat kembali mencabar di sesetengah negara termasuklah Malaysia yang telah melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keadaan ini telah menjejaskan banyak perniagaan dan para pelanggan serta memberi impak kepada perniagaan kami juga. Terdapat juga persaingan yang sengit terutamanya di Indonesia,” ujarnya.

Tambah Jamaluddin, syarikat tersebut juga merekodkan lebihan tunai berjumlah RM10.7 bilion susulan prestasinya yang kukuh, pengembangan margin dan peningkatan aliran tunai.

“Selepas mengurangkan nilai hutang pada suku keempat, kami masih menjangkakan akan mengakhiri tahun ini dengan profil hutang yang sihat dan baki tunai kira-kira RM6 bilion. Keadaan itu akan memberi kelebihan kepada kami untuk mengharungi pandemik dan senario ekonomi,” jelas Jamaluddin.

Ketika sesi dagangan berehat tengah hari tadi, saham Axiata melonjak sebanyak tujuh sen atau 2.09% kepada RM3.42, menjadikan nilai pasarannya sebanyak RM31.36 bilion dan kira-kira 2.67 juta sahamnya telah didagangkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat