Gadis Mangsa Perang Kini Berjaya Asaskan Medium Pembelajaran Pelaburan

290

Kiana Danial dilahirkan dan dibesarkan di Iran. Bapanya merupakan seorang jurutera yang berjaya serta CEO kepada sebuah syarikat pembinaan. Mereka sekeluarga menjalani sebuah kehidupan yang sangat mewah dengan adanya pemandu peribadi 24 jam sehari, orang gaji dan chef di rumah.

Namun begitu, segalanya telah berubah ketika tercetusnya peperangan antara Iran dan Iraq. Mereka terpaksa hidup bersembunyi untuk mengelakkan bapa mereka dibunuh. Selain itu, turut berdepan dengan kesukaran untuk memperoleh sumber makanan kerana ketiadaan wang sehingga terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan telur dan susu.

Kiana yang merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik-beradik mengalami sedikit tekanan apabila terpaksa berpisah dengan abang sulung dan kakaknya. Abangnya telah menyeludup masuk ke Amerika Syarikat ketika baru berusia 16 tahun. 13 tahun berlalu, mereka sekeluarga tidak dapat bertemu dengannya.

Tambahan daripada itu, kakak beliau menerima tawaran bekerja sebagai guru di Amerika Syarikat lalu berpindah ke sana. Gaji yang diperolehi setiap bulan diserahkan kepada bapanya. Di samping itu, Kiana merasakan bahawa beliau perlu melakukan sesuatu untuk meringankan beban kedua-dua orang tuanya.

Ketika berusia 18 tahun, ibu Kiana disahkan menghidap barah payu dara. Rentetan daripada itu, ibunya tidak mahu Kiana menyaksikan penderitaan yang dialami. Oleh yang demikian, wanita berkenaan telah memaksa anaknya itu untuk membuat permohonan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik di Jepun.

Seterusnya, Kiana berjaya memperoleh biasiswa berkenaan dan belajar di salah sebuah kolej di negara tersebut. Malangnya, beliau merupakan satu-satunya pelajar perempuan dan warga asing yang belajar di kelasnya serta segala pembelajaran diajar dalam bahasa Jepun.

Disebabkan masalah bahasa yang dihadapi, beliau tidak mampu untuk memahami apa-apa pada mulanya. Akan tetapi, beliau tidak berputus asa. Pengajiannya berjaya ditamatkan lalu beliau mula mencari alternatif untuk membanggakan kedua-dua ibu bapanya dan mencari wang. Hasil daripada usaha kerasnya, Kiana berjaya menyertai sebuah segmen di Japanese Show.

Akan tetapi, ianya tidak menjamin masa depan yang cerah dengan bayaran gaji yang tidak seberapa.

Pada tahun 2008, krisis kewangan global telah berlaku. Ketika itu, Kiana mengetahui bahawa nilai dolar Amerika Syarikat semakin rendah. Tanpa sebarang pengetahuan tentang ekonomi atau kewangan, beliau bercadang untuk membeli dolar tersebut. Jika harganya meningkat naik, beliau akan menukar matawang berkenaan kepada yen.

Jadi, wang yang diperolehi dapat diberikan kepada kedua ibu bapanya. Setiap hari, Kiana akan pergi ke ATM berhampiran untuk meneliti harga semasa dolar Amerika Syarikat. Tidak lama kemudian, salah seorang rakannya menyarankan beliau untuk mula melibatkan diri dalam forex trading lalu membuka sebuah akaun untuknya.

Oleh yang demikian, beliau telah meletakkan modal sebanyak $10,000 ke dalam akaun tersebut. Dalam tempoh sebulan, beliau berjaya menggandakan wang tersebut.

Malangnya, beliau yang masih baru dalam dunia forex trading telah ditipu oleh sebuah syarikat pembrokeran hingga menyebabkan kerugian sebanyak $50,000.

Berdasarkan pengalaman pahitnya itu, Kiana mula mencari peluang untuk menceburi bidang kewangan. Jadi, beliau mencuba nasib di Wall Street. Gara-gara kelantangan beliau dalam menyuarakan pendapatnya, beliau telah dipecat!

Tanpa kenal erti putus asa, beliau tekad untuk menjalankan pelaburannya sendiri. Sehubungan dengan itu, Kiana belajar tentang kewangan, trading dan pelaburan secara mendalam merangkumi Charted Market Technician (CMT), Certified Financial Planning (CFP), Online Trading Academy dan sebagainya.

Kini, Kiana berjaya memiliki portfolio pelaburan yang mengaut keuntungan sebanyak $12,673 setiap bulan. Di samping itu, beliau turut mengasaskan sebuah medium pembelajaran pelaburan yang dikenali sebagai Invest Diva yang telah membantu ribuan pelajar terdiri daripada lebih 175 buah negara. Melalui ilmu dan pengalaman yang dimiliki, beliau menulis beberapa buah buku seperti Guide To Making Money In Forex, Ichimoku Secrets, Cryptocurrency Investing For Dummies.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat