GamesBond Sasar ‘Tapau’ Market E-Sukan Malaysia

152

Bermula dengan niat untuk menyediakan tempat yang selesa bagi orang ramai merasai permainan video konsol, dua usahawan muda ini iaitu Muhammad Fazli Razak dan Lee Sook Yih atau lebih mesra dikenali sebagai Suki tekad menubuhkan perniagaan berasaskan pusat e-sukan untuk penggemar permainan video di negara ini.

Sebelum ini, mereka berdua bekerja sebagai pakar pemakanan namun mengambil keputusan untuk berhenti dan pada 2015, tertubuhlah GamesBond. Menurut Muhammad Fazli, ketika itu, mereka nampak peluang yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain iaitu memfokuskan pasaran konsol e-sukan di Malaysia.

“Dulu pusat siber banyak tetapi yang memfokuskan dari segi konsep konsol memang tiada, jadi kami berfikir mungkin kami boleh bermula dengan cara begitu iaitu menyediakan tempat yang selesa untuk kawan-kawan dan keluarga datang bermain permainan video di konsol (PlayStation). Kami bermula dari sebuah studio permainan video yang kecil. Tidak lama selepas itu, kami berjumpa dengan seorang pemain profesional e-sukan FIFA  iaitu Amtuah. Amtuah memberitahu keadaan industri e-sukan di luar negara dan potensinya.

“Dari situ, kami menubuhkan pasukan e-sukan yang tersendiri. Pasukan kami berjaya layak ke beberapa kejohanan peringkat dunia seperti kejohanan yang dilangsungkan di negara Perancis, Sepanyol, Jerman dan Singapura. Kami juga berjaya melayakkan diri ke FIFA E-Sport Play-off,” kata Suki.

Tambah Suki, mereka bukan sahaja menjalankan perniagaan studio dan jualbeli permainan konsol tetapi turut menyediakan perkhidmatan untuk acara-acara tertentu seperti pusat e-sukan bergerak dan mereka juga aktif menganjurkan kejohanan e-sukan di pelusuk Malaysia.

“Contohnya ada syarikat yang ingin mengadakan Hari Keluarga, mereka akan menyewa barangan daripada kami dan GamesBond juga turut menyediakan tempat untuk berkumpul buat mereka. Selain itu, ada juga syarikat yang ingin membuat pengiklanan dalam industri e-sukan, menggunakan khidmat kami,” ujar Suki.

Apabila ditanya mengenai cabaran awal sewaktu memulakan GamesBond, Muhammad Fazli menyatakan untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai pada peringkat permulaan perniagaan adalah sukar.

“Pada 5 tahun lalu, apabila bercerita tentang permainan video, tentang e-sukan, perkara itu tidak meluas sangat terutamanya permainan konsol. Tetapi apabila kami cuba pasang beberapa strategi, ternyata membuka mata ramai pihak, terutama apabila kami membawa pasukan e-sukan ke peringkat antarabangsa bagi membuktikan industri e-sukan ini boleh berkembang, boleh diceburi sebagai kerjaya dan mempunyai banyak peluang.

“Syukur kepada Allah, pada masa ini, kami berjaya membawa komuniti e-sukan jauh ke hadapan dan kami sebagai GamesBond berjaya mengadakan banyak acara rasmi bersama penerbit permainan video, EA Sport untuk permainan video FIFA. Malahan, kami juga menandatangani perjanjian untuk menjadi agensi mereka di Malaysia dan perkara itu tidak pernah berlaku di mana-mana syarikat di Malaysia,” tutur Muhammad Fazli.

Selain itu juga mereka turut terlibat sebagai penganjur bersama dan pengendali kejohanan utama e-sukan di Malaysia termasuk kejohanan e-MSL yang dianjurkan bersama badan bolasepak Malaysia MSL dan FAM. Selain beberapa kejohanan e-sukan anjuran bersama kerajaan-kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sebelum mengakhiri pertemuan dengan Muhammad Fazli dan Suki, kami sempat bertanyakan apakah sasaran atau hala tuju GamesBond pada masa akan datang.

“Sasaran kami adalah membawa pemain e-sukan negara ini bermain di FIFA E-World Cup, itu adalah sasaran utama kami. Kami juga mencari jalan dan peluang untuk membantu komuniti e-sukan tempatan bergerak lebih laju dan jauh ke hadapan.

“Selain itu, kita sebagai komuniti e-sukan faham hala tuju sesebuah permainan video itu haruslah didukung dan disokong oleh pengeluar serta organisasi yang besar seperti FIFA dan sebagainya supaya nampak lebih profesional dan bukannya setakat jadi jaguh kampung sahaja,” menurut Muhammad Fazli lagi.

 

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat