GBP Menjunam Lagi – PM Johnson Harus Selesaikan Brexit Dalam Tempoh Singkat

804

Permulaan pasaran pada sesi Eropah hari ini melihatkan dagangan Pound Sterling kembali mengalami kejatuhan selepas cubaan pengukuhan pada sesi sebelum ini.

Perdana Menteri Britain yang baru, Boris Johnson cuba memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah Brexit dengan membentuk barisan kabinet baru untuk sokongan terhadap pentadbiran beliau.

Namun, Sterling kembali didagangkan lemah selepas penggubal undang-undang Eropah bertegas mengulangi bahawa perjanjian pengunduran Brexit tidak akan dirundingkan semula.

Justeru, ini melenyapkan semula jangkaan lanjutan tarikh akhir Brexit pada 31 Oktober nanti dan mendesak Boris menyelesaikan isu Brexit dalam tempoh waktu yang agak singkat.

Beliau sebelum ini mahukan rundingan diadakan semula dengan berpendapatan rundingan sebelum ini tidak boleh diterima dan juga tidak bersetuju di atas syarat kawalan sempadan.

Menteri Hal Ehwal Eropah Negara Perancis, De Montchalin memberitahu bahawa Perancis bersedia untuk bekerjasama bersama Perdana Menteri Britain, Boris Johson dalam isu Brexit.

Beliau berkata, jika UK mahu meninggalkan Kesatuan Eropah dengan langkah yang tertib, kesepakatan akan dicapai. Namun, rundingan semula Brexit tidak akan berlaku lagi.

Presiden Perancis Emmanuel Macron dilaporkan akan mengadakan perbincangan bersama PM Boris Johnson pada minggu berikutnya untuk membincangkan isu Brexit tersebut.

Isu-isu berkaitan Brexit yang berlegar dalam pasaran semenjak Boris Johson dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru masih belum memberikan impak yang positif buat Pound sebaliknya jangkaan terhadap Brexit tanpa perjanjian (no-deal Brexit) terus meningkat.

Pandangan teknikal, setelah dua hari dagangan pada carta harga pasangan matawang GBP/USD gagal melonjak lebih tinggi dari paras 1.25200, harga kembali membuat penurunan pada penghujung minggu menuju ke paras terendah mingguan sekitar 1.24200.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat