Geopolitik: Krisis Diplomatik Malaysia-Korea Utara Semakin Tegang

161

Korea Utara pada Selasa telah mengumumkan bahawa rakyat Malaysia di negara itu tidak dibenarkan untuk meninggalkan Pyongyang dan sebagai tindak balas pihak kerajaan Malaysia juga meningkatkan halangan kepada semua rakyat Korea Utara untuk tidak meninggalkan Malaysia.

Sudah lebih dari tiga minggu hubungan kedua-dua negara ini tegang selepas abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kini situasi semakin meruncing dengan halangan meninggalkan negara tersebut oleh Korea Utara.

Malaysia mempunyai kedutaan di Pyongyang dan Kementerian Luar Negeri mengatakan terdapat sebelas orang rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara termasuk tiga orang kedutaan, enam orang ahli keluarga mereka dan dua orang lagi staf PBB yang juga rakyat Malaysia. Namun, kedua-dua negara tidak menyatakan berapa jumlah rakyat Korea Utara yang kini berada di Malaysia.

Berkaitan dengan kes pembunuhan Jong-Nam, tiga orang rakyat Korea Utara dikehendaki bagi membantu siasatan kes ini yang mana didakwa sedang bersembunyi di bangunan kedutaan tersebut.

Laporan terbaru juga mengatakan, pihak PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) akan membantu untuk membawa keluar dua stafnya keluar dari Korea Utara. Pihak PBB mengatakan kedua-dua mereka dihantar ke sana untuk menjalani kursus berkaitan Program Pemakanan Sedunia.

Kini, China dilihat sebagai pilihan terbaik untuk menjadi orang tengah kedua-dua negara ini kerana hunugan baik China dengan Malaysia dan Korea Utara.

Pakar geopolitik, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, hubungan kedua-dua negara manjadi semakin tegang disebabkan Pyongyang sendiri yang memburukkan lagi keadaan berikutan Malaysia mencari kebenaran bagi menyelesaikan pembunuhan tersebut.

“Malaysia boleh merujuk kepada PBB, tetapi ia akan memakan masa dan Korea Utara sudah tentu mengabaikan tekanan dari badan antarabangsa ini.”

“Jadi, pilihan terbaik adalah dengan menggunakan China yang mempunyai hubungan rapat dengan Korea Utara untuk memberitahu bahawa jika sikap mereka kepada Malaysia berterusan seperti ini, ia akan mengundang kepada campurtangan Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.”

Menurut Azmi, pihak Beijing mempunyai pengaruh yang kuat terhadap Pyongyang dalam masa yang sama Beijing juga mempunyai hubungan baik dengan  Malaysia, dan ini menjadikan China adalah pilihan ideal untuk menyelesaikan krisis ini.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat