Goldman Sachs Ubah Jangkaan, Tiada Kenaikan Kadar Oleh Fed Pada Mac!

560

Kegagalan Silicon Valley Bank (SVB) angkara kadar faedah yang tinggi oleh Federal Reserve (Fed) telah mencetuskan jangkaan baharu untuk mesyuarat polisi yang akan datang.

Goldman Sachs dalam kenyataan terbarunya meramalkan Fed tidak akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat yang bakal berlangsung pada 22 Mac.

Ini susulan ketidakpastian yang besar terhadap hala tuju dasar selepas bulan ini disebabkan tekanan tak menentu dalam sektor perbankan.

Terdahulu, Goldman meramalkan kenaikan 25 mata asas pada Mac.

Pun begitu, ia tidak mengubah jangkaannya untuk peningkatan 25 mata asas pada Mei, Jun dan Julai.

Pada hari Jumaat lalu, pengawal selia California telah menutup SVB untuk mengawal depositnya disebabkan panik yang tercetus di kalangan pendeposit. Kegagalan itu kemudiannya disusuli oleh penutupan Signature Bank New York pada hari Ahad.

Kebimbangan terhadap krisis tersebut dilihat sedikit mereda pada sesi Asia hari ini selepas kerajaan Amerika Syarikat dan Fed mengumumkan langkah sokongan untuk bank itu.

Terbaru, semua pelanggan SVB dilaporkan akan mempunyai akses kepada deposit mereka bermula hari ini, dan pendeposit Signature Bank juga akan dibayar sepenuhnya tanpa kerugian kepada pembayar cukai.

Pada masa sama, Fed mengumumkan kemudahan pinjaman kecemasan dengan menyediakan pembiayaan tambahan kepada bank-bank yang layak bagi memudahkan mereka untuk memenuhi keperluan semua pendeposit.

Walaupun dengan bantuan yang disalurkan ini, Jabatan Perbendaharaan AS mengatakan masih terdapat kemungkinan lebih banyak kegagalan bank akan berlaku.

Berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pasaran mata wang? Jom sertai komuniti kami. Klik di sini untuk join.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat