Hampir 60% Industri Perancis Dibuka Semula Meskipun Kawalan Pergerakan Masih Diteruskan

286

Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire memaklumkan bahawa hampir 60% industri ekonomi di negara itu telah beroperasi semula setelah hampir satu bulan melaksanakan kawalan pergerakan bagi membendung penularan coronavirus.

Terdahulu, Le Maire dilaporkan telah memberi amaran bahawa ekonomi Perancis dijangka akan menguncup sebanyak 8% pada tahun ini daripada unjuran awal untuk penguncupan 6%.

Sejak 17 Mac, 67 juta rakyat Perancis telah diperintahkan untuk mengawal pergerakan mereka kecuali untuk membeli makanan, bekerja dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Presiden Emmanuel Macron kemudiannya melanjutkan tempoh arahan tersebut sehingga 11 Mei.

Kerajaan Perancis hari ini mengumumkan bahawa kos dalam pakej rangsangan untuk menyokong ekonomi yang terkesan akibat pandemik coronavirus, telah ditingkatkan sebanyak €10 bilion kepada €110 bilion.

Perancis merupakan negara keempat selepas Itali yang terjejas teruk akibat COVID-19, di mana jumlah kes yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak 143,303 manakala angka kematian pula meningkat kepada 15,729 korban.

Walaupun jumlah kes dan kematian harian di negara itu masih mencatatkan peningkatan, namun terdapat tanda-tanda ia semakin berkurangan. Ini menyebabkan Perancis mengikut jejak langkah Sepanyol untuk melonggarkan sekatan dengan membuka semula beberapa aktiviti ekonomi.

Sementara itu, data jualan runcit Perancis yang diterbitkan oleh bank pusat hari ini menunjukkan penguncupan sebanyak 24% pada bulan Mac, didorong oleh kemerosotan dalam jualan barangan perindustrian dan makanan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat